Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Filipi 4:8​—“Apa Sahaja yang Benar, . . . Tumpukan Fikiran Kepadanya”

Filipi 4:8​—“Apa Sahaja yang Benar, . . . Tumpukan Fikiran Kepadanya”

 “Akhirnya saudara-saudara, teruslah memikirkan semua perkara yang benar, semua perkara yang serius, semua perkara yang diperkenankan Tuhan, semua perkara yang murni, semua perkara yang patut dikasihi, semua perkara yang terhormat, semua perkara yang baik, dan semua perkara yang patut dipuji.”—Filipi 4:8, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Akhir sekali, saudara-saudaraku, apa sahaja yang benar, apa sahaja yang mulia, apa sahaja yang adil, apa sahaja yang suci, apa sahaja yang indah, apa sahaja yang dipandang tinggi – jika ada sesuatu yang baik dan jika ada sesuatu yang terpuji – tumpukan fikiran kepadanya.”—Filipi 4:8, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Filipi 4:8

 Tuhan berminat tentang fikiran manusia terutamanya kerana fikiran kita mempengaruhi tindakan kita. (Mazmur 19:14; Markus 7:20-23) Maka, orang yang ingin gembirakan hati Tuhan akan menolak fikiran yang jahat dalam pandangan Tuhan. Sebaliknya, mereka akan memikirkan perkara yang disukai-Nya.

 Ayat ini sebut tentang lapan perkara baik yang orang Kristian patut terus “tumpukan fikiran kepadanya,” iaitu pupuk tabiat untuk memikirkannya.

  •   “Benar.” Perkataan ini menggambarkan hal-hal yang baik dan boleh dipercayai, seperti maklumat dalam Firman Tuhan, iaitu Bible.—1 Timotius 6:20.

  •   “Serius.” Perkataan ini merujuk kepada perkara yang benar-benar penting dan bukannya remeh-temeh. Semasa orang Kristian fikir tentang perkara sedemikian, mereka lebih bertekad melakukan apa yang benar.—Titus 2:6-8.

  •   “Diperkenankan Tuhan.” Ungkapan ini merujuk kepada rancangan dan tindakan yang betul mengikut standard Tuhan dan bukan sekadar kebijaksanaan manusia.—Amsal 3:5, 6; 14:12.

  •   “Murni.” Perkataan ini menggambarkan fikiran dan niat yang suci, bukan hanya dalam perkara seks, tapi dalam segala hal.—2 Korintus 11:3.

  •   “Patut dikasihi.” Ungkapan ini merujuk kepada perkara yang menyenangkan, yang menyemarakkan perasaan kasih dan bukannya kebencian, rasa dendam, atau pertikaian.—1 Petrus 4:8.

  •   “Terhormat.” Perkataan ini merujuk kepada perkara yang menyumbang kepada nama baik seseorang. Mereka yang menghormati Tuhan berkenan dengan hal sebegini.—Amsal 22:1.

  •   “Baik.” Perkataan ini merujuk kepada perkara yang benar-benar baik dari segi moral mengikut pandangan Tuhan.—2 Petrus 1:5, 9.

  •   “Patut dipuji.” Perkataan ini merujuk kepada perkara yang layak dipuji, terutamanya dalam pandangan Tuhan. Ia juga merangkumi perbuatan Tuhan yang terpuji, dan penting bagi manusia untuk fikirkan.—Mazmur 78:4.

Konteks Filipi 4:8

 Rasul Paulus berada dalam tahanan rumah di Roma semasa dia tulis surat kepada orang Kristian di Filipi. Namun, pengulas Bible menggambarkan surat ini sebagai “surat yang membawa sukacita” kerana ditulis dengan nada yang gembira serta ada banyak ungkapan yang ramah dan mesra.—Filipi 1:3, 4, 7, 8, 18; 3:1; 4:1, 4, 10.

 Paulus mengasihi rakan seiman di Filipi. Dia ingin mereka memiliki sukacita dan kedamaian yang dimilikinya. (Filipi 2:17, 18) Jadi, dalam bahagian terakhir suratnya, dia menggalakkan mereka untuk pupuk sikap bersukacita dan munasabah, tetap bergantung kepada Tuhan melalui doa, serta bertumpu pada perkara yang membawa kedamaian batin dan kedamaian dengan Tuhan.—Filipi 4:4-9.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Filipi.