Lompat ke kandungan

TIRULAH IMAN MEREKA | AYUB

“Aku Akan Tetap Setia kepada Tuhan!”

“Aku Akan Tetap Setia kepada Tuhan!”

 Bayangkan keadaan lelaki ini. Tubuhnya dijangkiti bisul yang sangat teruk dari telapak kaki sampai kepalanya. Dia duduk keseorangan dengan kepala yang tertunduk sambil mengikis kulitnya dengan sekeping pecahan tembikar. Dia duduk di atas abu sebagai tanda perkabungan. Dia begitu lemah sehingga tidak berdaya untuk menghalau lalat yang mengerumuninya. Dia kehilangan segala-gala yang dianggap berharga dalam kehidupannya, dan dia bahkan diabaikan oleh kawan, jiran, dan saudara-maranya. Semua orang, termasuk kanak-kanak, menghina dan mengejek dia. Dia menyangka bahawa Tuhannya, iaitu Yehuwa, juga telah memusuhinya, tetapi sangkaannya dalam hal ini meleset sama sekali.—Ayub 2:8; 19:18, 22.

 Lelaki yang dimaksudkan ini ialah Ayub. Tuhan berfirman tentangnya, “Tiada seorang pun yang seperti dia di bumi.” (Ayub 1:8) Berabad-abad kemudian, Yehuwa masih ingat akan kesetiaan Ayub.—Yehezkiel 14:14, 20.

 Adakah anda juga menghadapi kesusahan dan cabaran hidup? Jika ya, kisah Ayub dapat melegakan hati anda. Kisah Ayub juga dapat membantu anda untuk memupuk sifat yang sangat penting, iaitu kesetiaan atau integriti. Manusia menunjukkan kesetiaan semasa mereka mengabdikan diri dengan sepenuhnya kepada Tuhan dan terus melakukan kehendak-Nya biarpun menghadapi cabaran. Mari kita melihat kisah Ayub dengan lebih teliti.

Apa yang Tidak Diketahui oleh Ayub

 Kisah hidup Ayub nampaknya ditulis oleh Musa beberapa lama selepas kematian Ayub. Musa dapat mengetahui tentang peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Ayub dan sesetengah peristiwa yang berlaku di syurga pada masa itu kerana dia dibimbing oleh kuasa suci Tuhan.

 Pada mulanya, Ayub mempunyai kehidupan keluarga yang sangat bahagia. Dia kaya, terkenal, dan dihormati di tanah Uz, yang mungkin terletak di utara Arab. Dia sangat murah hati dan selalu menjaga kebajikan orang yang miskin atau yang ditindas. Ayub dan isterinya mempunyai 10 orang anak. Yang terpenting, Ayub ialah seorang lelaki yang mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan. Seperti saudara-maranya Abraham, Ishak, Yakub, dan Yusuf, dia berusaha untuk menyenangkan hati Yehuwa. Seperti mereka, Ayub juga bertindak sebagai imam bagi seisi keluarganya. Dia sering mempersembahkan korban bagi setiap anaknya.—Ayub 1:1-5; 31:16-22.

 Namun kehidupan Ayub berubah secara mendadak. Kita diberitahu tentang apa yang berlaku di syurga, iaitu tentang hal-hal yang tidak diketahui oleh Ayub. Malaikat Yehuwa yang setia berkumpul di hadirat-Nya, dan Syaitan juga turut hadir. Syaitan membenci Ayub kerana Ayub ialah seorang lelaki yang setia kepada Yehuwa. Yehuwa bercakap kepada Syaitan dan menyebut tentang kesetiaan Ayub. Tetapi Syaitan menjawab dengan licik, “Adakah Ayub akan menyembah Engkau jika dia tidak mendapat sesuatu daripada-Mu? Bukankah Engkau selalu melindunginya dan keluarganya serta segala miliknya?” Syaitan membenci orang yang setia kepada Tuhan. Semasa orang berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, mereka mendedahkan kejahatan Syaitan dan membuktikan bahawa dia ialah pengkhianat yang tidak berguna. Maka Syaitan mempersoalkan niat Ayub dan menyatakan bahawa Ayub menyembah Tuhan demi kepentingan diri. Syaitan mendakwa bahawa jika Ayub kehilangan segala-galanya, Ayub akan mengutuk Yehuwa secara terang-terang!—Ayub 1:6-11.

 Ayub tidak tahu bahawa Yehuwa telah memberinya satu penghormatan yang besar, iaitu peluang untuk membuktikan bahawa tuduhan Syaitan salah sama sekali. Syaitan diizinkan untuk merampas segala-gala yang dimiliki oleh Ayub, tetapi Syaitan tidak dibenarkan untuk mencederakan Ayub. Dengan gembira, Syaitan pergi untuk membawa penderitaan kepada Ayub. Dalam satu hari, Ayub ditimpa musibah yang datang bertalu-talu. Mula-mula dia kehilangan ternakannya, termasuk lembu, keldai, bebiri, dan untanya. Hamba-hambanya juga dibunuh. Dalam satu peristiwa, ada orang melaporkan kepada Ayub bahawa sekumpulan hambanya mati kerana “api daripada Tuhan,” yang barangkali merujuk kepada sambaran kilat. Sebelum Ayub sempat menghela nafas, dia diberitahu berita yang paling menyayat hatinya. Dia diberitahu bahawa semasa semua anaknya berada di rumah abang sulung mereka, angin yang kencang bertiup lalu merobohkan rumah itu dan mereka semua mati!—Ayub 1:12-19.

 Memang susah bagi kita untuk membayangkan perasaan Ayub pada masa itu. Bible menyatakan bahawa dia mengoyakkan jubahnya, mencukur rambutnya, lalu bersujud ke tanah. Ayub membuat kesimpulan bahawa ‘Tuhan telah memberi dan Tuhan juga telah mengambil semula’ daripadanya. Syaitan sebenarnya sangat licik kerana dia membuat musibah yang menimpa Ayub kelihatan seperti datang daripada Tuhan. Namun, Ayub tidak mengutuk Tuhan seperti yang didakwa oleh Syaitan. Sebaliknya, Ayub berkata, “Biarlah nama Yehuwa terus dipuji!”—Ayub 1:20-22.

Ayub tidak tahu bahawa Syaitan memfitnahnya di hadapan Tuhan

“Dia Pasti Akan Mengutuk Engkau”

 Syaitan tidak mahu mengaku kalah. Semasa malaikat-malaikat menghadap Yehuwa lagi, Syaitan juga datang menghadap Yehuwa. Sekali lagi Yehuwa memuji Ayub kerana dia tetap setia biarpun dia diuji oleh Syaitan. Syaitan menjawab, “Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup. Jika Engkau menghulurkan tangan-Mu dan menyakiti tubuhnya, dia pasti akan mengutuk Engkau secara terang-terang.” Syaitan menyangka bahawa jika Ayub ditimpa penyakit yang teruk, dia pasti akan mengutuk Tuhan. Yehuwa sangat yakin bahawa Ayub akan mengekalkan kesetiaannya, maka Dia mengizinkan Syaitan untuk berbuat apa sahaja asalkan Syaitan tidak membunuh Ayub.—Ayub 2:1-6.

 Tidak lama kemudian, keadaan Ayub menjadi seperti yang digambarkan pada awal rencana ini. Bayangkan juga perasaan isterinya. Dia sudah kehilangan kesemua anaknya dan kini dia terpaksa melihat suaminya menderita penyakit yang sangat mengerikan! Dengan hati yang pedih, dia berkata, “Apa gunanya kamu tetap setia kepada Tuhan? Kutuklah Tuhan, dan matilah!” Ayub memang tahu bahawa isterinya mengucapkan kata-kata itu kerana dia amat tertekan. Biarpun begitu, Ayub tetap tidak mengutuk Tuhan dan tidak mengucapkan apa-apa yang menyebabkannya berdosa.—Ayub 2:7-10.

 Tahukah anda bahawa kisah hidup Ayub juga melibatkan anda? Perhatikan bahawa tuduhan Syaitan tidak hanya ditujukan kepada Ayub. Syaitan berkata, “Apabila nyawa seseorang terancam, dia pasti akan mengorbankan segala-galanya supaya dapat terus hidup.” Dalam erti kata lain, Syaitan percaya bahawa tidak ada sesiapa pun yang akan mengekalkan kesetiaan kepada Tuhan. Dia mendakwa bahawa anda tidak memiliki kasih yang tulus untuk Tuhan dan bahawa anda akan meninggalkan Tuhan semata-mata untuk menyelamatkan nyawa anda. Secara tidak langsung, Syaitan sedang mendakwa bahawa anda juga mementingkan diri seperti dia. Inginkah anda membuktikan bahawa Syaitan salah? Kita masing-masing mempunyai peluang untuk berbuat demikian. (Amsal 27:11) Marilah kita melihat apa yang berlaku kepada Ayub seterusnya.

Tiga Orang Sahabat Palsu

 Tiga orang kenalan Ayub telah mendengar tentang musibah yang menimpanya. Mereka membuat keputusan untuk melawat Ayub supaya mereka dapat menghiburkan hatinya. Ketika mereka masih jauh, mereka nampak Ayub tetapi tidak mengenalnya kerana kulit Ayub menjadi hitam dan mengelupas dan keadaannya amat berbeza daripada sebelumnya. Tiga orang sahabatnya itu bernama Elifas, Bildad, dan Zofar. Mereka menangis dengan kuat dan menghamburkan debu ke atas kepala mereka untuk menunjukkan kesedihan mereka atas penderitaan yang dialami Ayub. Mereka duduk di atas tanah bersama Ayub selama tujuh hari dan tujuh malam. Sepanjang masa itu, mereka tidak mengucapkan sepatah kata pun kepadanya. Mereka langsung tidak bertanya tentang keadaannya dan membuat kesimpulan berdasarkan apa yang mereka nampak sahaja.—Ayub 2:11-13; 30:30.

 Akhirnya, Ayub mulai bercakap dan mengutuk hari kelahirannya. Dia menyingkapkan apa yang membuat dia merana: Dia menyangka bahawa Tuhan telah menyebabkan masalah-masalahnya! (Ayub 3:1, 2, 23) Walaupun Ayub mempunyai iman yang kuat, dia memerlukan kelegaan hati. Tetapi semasa sahabat-sahabatnya itu mula bercakap, Ayub mula sedar bahawa adalah lebih baik jika mereka berdiam diri sahaja.—Ayub 13:5.

 Elifas, yang jauh lebih tua daripada Ayub, mula bercakap. Mungkin dialah yang paling tua dalam kalangan mereka. Tidak lama kemudian, dua orang sahabatnya yang lain juga mula bercakap. Secara umum, mereka mengucapkan hal-hal yang serupa dengan Elifas. Mereka mengatakan hal-hal yang kedengarannya betul dan biasanya disebutkan oleh orang. Contohnya, mereka mengatakan bahawa Tuhan sangat agung dan Dia menghukum orang jahat dan memberkati orang baik. Dari awal lagi, kata-kata mereka menunjukkan bahawa mereka tidak prihatin terhadap Ayub. Elifas memberikan penjelasan dalam cara yang nampaknya logik tetapi tidak benar. Contohnya, dia berkata bahawa jika Tuhan menghukum orang jahat, dan Ayub sedang dihukum oleh Tuhan, tidakkah hal itu membuktikan bahawa Ayub telah berdosa?—Ayub 4:1, 7, 8; 5:3-6.

 Memang tidak menghairankan bahawa Ayub langsung tidak menerima kata-kata mereka. Dia menolak kata-kata mereka dengan tegas. (Ayub 6:25) Namun hal itu membuat tiga orang sahabatnya lebih percaya bahawa dia memang bersalah tetapi tidak mahu mengakui dosanya. Elifas mengatakan bahawa Ayub sombong, jahat, dan tidak takut kepada Tuhan. (Ayub 15:4, 7-9, 20-24; 22:6-11) Zofar pula mendakwa bahawa Ayub suka melakukan perbuatan yang jahat dan menyuruh Ayub untuk berhenti berbuat dosa. (Ayub 11:2, 3, 14; 20:5, 12, 13) Bildad mengucapkan kata-kata yang paling kejam dan paling menusuk hati Ayub. Dia berkata bahawa anak-anak Ayub mungkin telah memberontak dan berdosa terhadap Tuhan dan itulah sebabnya mereka dihukum mati!—Ayub 8:4, 13.

Tiga orang sahabat Ayub tidak melegakan hati Ayub, sebaliknya mereka membuatnya lebih menderita

Kesetiaan Ayub Dicabar!

 Ketiga-tiga orang sahabat Ayub bukan sahaja mendakwa bahawa Ayub tidak setia kepada Tuhan, mereka bahkan juga berkata bahawa Tuhan tidak menghargai kesetiaan manusia. Semasa Elifas mula bercakap, dia mengatakan bahawa dia mendapat penglihatan daripada satu makhluk roh. Apakah kesimpulan Elifas selepas mendengar kata-kata yang bagaikan racun daripada roh jahat itu? Dia berkata bahawa Tuhan “tidak mempercayai hamba-hamba-Nya, dan Dia bahkan mencari kesalahan para malaikat-Nya.” Bayangkan, Elifas sedang mengatakan bahawa mustahil bagi manusia untuk menyenangkan hati Tuhan! Selepas itu, Bildad mendakwa bahawa bagi Tuhan, kesetiaan Ayub tidak penting. Bildad bahkan mengatakan bahawa semua manusia hanyalah seperti cacing dalam pandangan Tuhan!—Ayub 4:12-18; 15:15; 22:2, 3; 25:4-6.

 Pernahkah anda mencuba untuk melegakan hati orang yang sedang bersedih? Hal itu memang tidak mudah. Daripada tiga orang sahabat Ayub, kita dapat pelajari banyak hal yang perlu kita elakkan. Mereka mengucapkan kata-kata yang kedengaran masuk akal, tetapi mereka langsung tidak berbelas kasihan. Mereka juga tidak pernah menyebut nama Ayub. Mereka tidak menghiraukan keadaan Ayub yang sangat sengsara dan tidak melayan dia dengan lemah lembut. a Jika anda mempunyai seorang kawan yang dirundung kesedihan, berusahalah untuk melayan dia dengan baik hati dan penuh kasih. Berusahalah untuk menguatkan iman dan keberaniannya. Bantulah dia untuk bergantung pada Tuhan kerana Tuhan sangat baik hati, berbelas kasihan, dan suka akan keadilan. Hal itulah yang pasti dilakukan oleh Ayub jika sahabat-sahabatnya menderita. (Ayub 16:4, 5) Tetapi, apakah reaksi Ayub setelah kesetiaannya dicabar berulang kali?

Ayub Tidak Putus Asa

 Sebelum sahabat-sahabatnya datang, Ayub sudah pun menderita. Jadi dari awal lagi, dia mengakui bahawa dia mengucapkan “kata-kata yang melulu” kerana dia “patah semangat.” (Ayub 6:3, 26) Kata-katanya juga mencerminkan pandangannya yang sempit. Memandangkan musibah yang menimpanya dan keluarganya datang secara tiba-tiba dan bertalu-talu, Ayub menyimpulkan bahawa Yehuwalah yang telah menyebabkan penderitaannya. Ayub membuat andaian yang salah itu kerana terdapat banyak hal yang tidak diketahuinya.

 Walau bagaimanapun, Ayub mempunyai iman yang kuat. Imannya jelas kelihatan melalui kata-kata yang diucapkan olehnya sepanjang perbualan mereka. Sehingga hari ini, kata-katanya masih dapat menyentuh hati kita, menggalakkan kita, dan membawa banyak manfaat bagi kita. Misalnya, sewaktu Ayub memuliakan Tuhan atas ciptaan-Nya yang menakjubkan, dia menyebutkan hal-hal yang tidak mungkin diketahui oleh manusia jika hal itu tidak disingkapkan oleh Pencipta sendiri. Sebagai contoh, dia berkata bahawa Yehuwa “menempatkan bumi di angkasa hampa.” Hakikat itu sebenarnya hanya diketahui oleh para ahli sains beratus-ratus tahun kemudian. b (Ayub 26:7) Ayub juga menunjukkan iman dengan bercakap tentang harapannya untuk masa depan, iaitu harapan sama yang dimiliki oleh orang setia yang lain sebelum zamannya. Ayub percaya bahawa biarpun dia mati, Tuhan akan mengingatinya, merinduinya, dan akhirnya akan menghidupkannya kembali pada masa hadapan.—Ayub 14:13-15; Ibrani 11:17-19, 35.

 Bagaimana pula dengan isu kesetiaan manusia kepada Tuhan? Elifas dan dua orang kawannya berkeras bahawa kesetiaan manusia tidak penting bagi Tuhan. Adakah Ayub terpengaruh dengan pandangan mereka yang salah? Tidak. Ayub berasa sangat yakin bahawa Tuhan menghargai kesetiaan manusia. Dia berkata, “Dia pasti akan tahu bahawa aku jujur dan setia.” (Ayub 31:6) Selain itu, Ayub sedar bahawa pemikiran sahabat-sahabatnya salah dan kata-kata mereka sedang menguji kesetiaannya kepada Tuhan. Hal itu mendorong Ayub untuk memberikan ucapannya yang terpanjang, yang akhirnya membuat mereka bertiga terbungkam.

 Ayub juga tahu bahawa kesetiaannya kepada Tuhan merangkumi kehidupan sehariannya. Maka dia menjelaskan apa yang dilakukannya setiap hari untuk mengekalkan kesetiaannya. Contohnya, dia mengelakkan semua bentuk penyembahan berhala, melayan orang lain dengan baik hati dan sopan, mengekalkan kebersihan moral, setia kepada isterinya, dan yang terpenting, dia mengabdikan diri kepada Tuhan Yehuwa, satu-satunya Tuhan Yang Benar. Maka Ayub dapat berkata dengan penuh keyakinan, “Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!”—Ayub 27:5; 31:1, 2, 9-11, 16-18, 26-28.

Ayub tetap setia kepada Tuhan

Tirulah Iman Ayub

 Adakah anda setuju dengan pandangan Ayub tentang kesetiaan? Memang mudah bagi kita untuk mengatakan bahawa kita setia kepada Tuhan, tetapi adalah sangat penting bagi kita untuk membuktikannya melalui perbuatan kita. Kita dapat menunjukkan bahawa kita setia sepenuhnya kepada Tuhan dengan mematuhi-Nya. Tidak kira senang atau susah, kita mahu melakukan apa yang baik di mata-Nya dalam kehidupan seharian kita. Dengan demikian, seperti Ayub, kita juga akan menggembirakan hati Yehuwa dan memberikan tamparan yang hebat kepada Syaitan. Itulah cara terbaik kita dapat meniru teladan Ayub!

 Tetapi, kisah Ayub belum berakhir. Ayub lupa akan satu hal yang penting. Dia terlalu khusyuk untuk membela dirinya sehingga dia lupa untuk membela nama baik Yehuwa. Ayub memerlukan bantuan rohani untuk mempunyai pandangan yang betul. Lagipun, Ayub memerlukan kelegaan hati kerana dia baru mengalami pengalaman yang sangat pahit. Bagaimanakah Yehuwa akan membantu lelaki yang setia dan beriman ini? Rencana berikutnya akan menjawab soalan ini.

a Yang anehnya, Elifas menyangka bahawa dia dan kawan-kawannya bercakap dengan lembut kepada Ayub, barangkali kerana mereka tidak meninggikan suara mereka. (Ayub 15:11) Tetapi kata-kata yang diucapkan dengan suara yang lembut pun dapat menusuk hati orang.

b Nampaknya, teori bahawa bumi tidak perlu disokong oleh apa-apa hanya diterima oleh para ahli sains kira-kira 3,000 tahun selepas kata-kata ini ditulis. Tetapi kata-kata Ayub hanya terbukti dengan jelas selepas foto-foto bumi diambil dari angkasa lepas dan semua orang dapat melihat bahawa bumi tidak disokong oleh apa-apa.