Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membimbing Anak-Anak

Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membimbing Anak-Anak

 Apa yang perlu anda ketahui

 Bagi sesetengah budaya hari ini, terdapat kanak-kanak yang mempunyai hubungan yang rapat dengan ibu bapa mereka dan mereka lebih suka meminta bimbingan daripada ibu bapa. Namun, dalam budaya yang lain, kanak-kanak selalu mencari atau meminta nasihat daripada rakan sebaya mereka.

 Apabila kanak-kanak bergantung pada bimbingan rakan sebaya, mereka sering kali tidak begitu menghormati nasihat daripada ibu bapa sendiri. Tambahan pula, ibu bapa mungkin akan berasa bahawa mereka tidak lagi berpengaruh ke atas anak-anak yang meningkat remaja. Hal ini tidak menghairankan kerana anak-anak telah menghabiskan begitu banyak masa bersama kanak-kanak lain, seolah-olah mereka dibesarkan oleh satu sama lain dan bukannya oleh ibu bapa mereka masing-masing.

 Mengapakah anak-anak lebih senang untuk rapat dengan rakan sebaya berbanding ibu bapa mereka? Fikirkan sebab-sebab berikut.

  •   Sekolah. Semasa anak-anak menghabiskan banyak masa bersama kanak-kanak lain, mereka akan mula membentuk persahabatan erat dan lebih menghargai pendapat rakan mereka berbanding pendapat ibu bapa sendiri. Keadaan itu akan menjadi semakin ketara apabila seseorang anak itu mula meningkat remaja.

    Anak-anak harus lebih menghargai pendapat ibu bapa mereka berbanding pendapat rakan sekolah mereka

  •   Kurangnya masa bersama. Dalam banyak keluarga, anak-anak pulang dari sekolah ke rumah mereka yang sunyi, kerana ibu bapa mungkin sedang bekerja.

  •   Budaya remaja. Pada saat anak-anak melangkah ke alam remaja, mereka mula terpengaruh dengan budaya remaja yang menentukan cara berpakaian, cara bercakap, dan cara bertingkah laku. Pandangan rakan sebaya terhadap mereka lebih penting daripada pandangan ibu bapa mereka.

  •   Pemasaran. Dalam dunia perniagaan, banyak produk dan bermacam jenis hiburan ditujukan kepada golongan orang muda sahaja. Hal ini menjadikan persefahaman antara ibu bapa dan anak-anak mereka semakin sukar. Menurut Dr. Robert Epstein, “Industri yang bernilai berbilion dolar akan bankrap jika budaya remaja tidak wujud lagi.” a

 Apa yang dapat anda lakukan

  •   Kekalkan hubungan yang erat dengan anak anda.

     Bible menyatakan, “Semua yang aku sampaikan kepada kamu hari ini mesti kamu simpan dalam hati kamu. Ajarkanlah semua itu kepada anak-anak kamu secara berulang-ulang. Percakapkanlah semua itu semasa kamu di rumah, semasa kamu berjalan, semasa kamu berbaring, dan semasa kamu bangun.”—Ulangan 6:6, 7.

     Walaupun rakan sebaya boleh menjadi sahabat kepada anak anda, mereka tidak sepatutnya mengambil alih peranan anda sebagai ibu bapa. Menurut pakar, kebanyakan anak dan remaja menghormati ibu bapa dan ingin menyenangkan hati mereka. Jadi, janganlah putus asa. Jika anda berusaha untuk mengekalkan hubungan yang erat dengan anak anda, pengaruh anda terhadap mereka akan menjadi lebih kuat daripada rakan sebaya mereka.

     “Kamu mesti meluangkan masa dengan anak-anak anda dengan melakukan tugas-tugas harian seperti memasak, membersih, dan juga melakukan kerja sekolah bersama-sama. Buatlah sesuatu yang menyeronokkan seperti bermain game, menonton TV atau wayang. Jangan fikir anda hanya perlu meluangkan sedikit masa dan menganggap itu ‘masa yang berkualiti’ bersama anak-anak. Ingat, kualiti tidak berguna jika kuantitinya tidak mencukupi!”—Lorraine.

  •   Pastikan pergaulan anak anda tidak terhad di kalangan rakan sebaya sahaja.

     Bible menyatakan, “Kebodohan memang ada dalam hati seorang anak.”—Amsal 22:15.

     Sesetengah ibu bapa berpuas hati melihat anak mereka mempunyai banyak kawan. Walaupun persahabatan dengan rakan sebaya dapat mengajar seorang anak cara untuk bergaul dengan orang lain, tetapi dia juga perlukan sahabat daripada pelbagai peringkat umur supaya membantunya menjadi matang. Rakan sebaya tidak dapat membimbing orang muda dalam cara yang sama seperti ibu bapa yang penyayang.

     “Rakan sebaya seorang anak mungkin berpengetahuan, tetapi mereka tidak mempunyai kemahiran hidup, pengalaman, dan kebijaksanaan untuk membantu orang muda yang lain untuk membuat keputusan yang terbaik. Apabila anak muda mengikut bimbingan ibu bapa, mereka dapat membesar dan mencapai kematangan yang sepadan dengan umur mereka.”—Nadia.

  •   Berikan bimbingan yang bijak.

     Bible menyatakan, “Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak.”—Amsal 13:20.

     Anak-anak anda mendapat manfaat dengan meluangkan masa bersama anda, biarpun mereka semakin membesar. Jadilah teladan yang baik untuk mereka.

     “Ibu bapa merupakan teladan yang paling penting untuk anak-anak. Apabila anak-anak diajar untuk menghargai dan menghormati ibu bapa, mereka akan turut menunjukkan sikap yang sama seperti ibu bapa mereka setelah mereka dewasa kelak.”—Katherine.

a Dari buku Teen 2.0—Saving Our Children and Families From the Torment of Adolescence.