Lompat ke kandungan

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Kanak-Kanak dan Telefon Pintar​—Bahagian 1: Patutkah Anak Saya Memiliki Telefon Pintar?

Kanak-Kanak dan Telefon Pintar​—Bahagian 1: Patutkah Anak Saya Memiliki Telefon Pintar?

 Semakin ramai kanak-kanak memiliki telefon pintar, a dan mereka dapat melayari Internet semasa berseorangan di dalam bilik mereka. Apakah kebaikan dan keburukan jika anak anda memiliki telefon pintar? Berapa lamakah mereka patut menggunakan telefon pintar setiap hari?

 Apa yang perlu anda ketahui

 Kebaikannya

  •   Anak selamat, ibu bapa tenang. Bethany, yang mempunyai dua orang anak remaja, berkata, “Dunia sekarang sangat bahaya. Maka anak-anak perlu ada cara untuk menghubungi ibu bapa mereka.”

     Seorang ibu yang bernama Catherine berkata, “Anda boleh menggunakan aplikasi tertentu untuk menjejaki anak anda menerusi telefon. Jika dia sedang memandu, anda dapat tahu berapa kelajuannya.”

  •   Tugasan sekolah. “Anak-anak boleh mendapat tugasan sekolah menerusi e-mel atau mesej, dan mereka juga dapat menghubungi guru-guru mereka,” kata seorang ibu yang bernama Marie.

 Keburukannya

  •   Meluangkan terlampau banyak masa dengan telefon. Orang muda biasanya meluangkan beberapa jam sehari dengan telefon mereka. Sebenarnya, jumlah masa yang digunakan oleh ibu bapa untuk berkomunikasi dengan anak mereka adalah sama dengan jumlah masa yang digunakan oleh ibu bapa dengan telefon mereka. Oleh itu, seorang kaunselor menyatakan bahawa banyak keluarga sudah menjadi seperti sekumpulan orang yang tidak kenal satu sama lain, dan hanya tertumpu kepada telefon mereka. b

  •   Pornografi. Menurut satu kajian, lebih daripada separuh remaja mencari pornografi setiap bulan. Hal ini tidak menghairankan kerana mereka boleh mendapatkan bahan lucah dengan senang menerusi alat mudah alih mereka. William, seorang bapa kepada dua orang anak remaja, berkata, “Dengan memberikan telefon pintar kepada anak, ibu bapa seolah-olah membuka jalan bagi anak untuk memasuki kedai pornografi pada bila-bila masa.”

  •   Terlalu bergantung pada telefon. Banyak orang ketagih dengan telefon mereka. Jika telefon mereka hilang, mereka akan berasa cemas, tertekan, dan bahkan jatuh sakit. Sesetengah ibu bapa mendapati bahawa anak mereka bersikap biadap semasa menggunakan telefon. Carmen berkata, “Semasa saya ingin cakap dengan anak lelaki saya, dia akan menjelingkan matanya atau menjawab dengan tidak sopan kerana dia tidak mahu diganggu semasa menggunakan telefon.”

  •   Keburukan yang lain. Mereka yang menggunakan telefon pintar mungkin akan dibuli dalam dunia siber atau menerima mesej yang lucah. Selain itu, mereka mungkin menghadapi masalah kesihatan, seperti postur badan yang buruk atau kurang tidur. Sesetengah orang muda menggunakan “ghost app,” contohnya aplikasi yang nampak seperti kalkulator, tetapi sebenarnya merupakan aplikasi yang lain supaya ibu bapa tidak tahu aktiviti mereka.

     Daniel, yang mempunyai seorang anak remaja perempuan, berkata, “Telefon pintar membolehkan anak anda untuk mencari apa-apa sahaja di Internet, sama ada yang baik atau buruk.”

 Soalan-soalan yang patut anda tanya

  •   “Adakah anak saya memerlukan telefon pintar?”

     Bible menyatakan, “Orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.” (Amsal 14:15) Oleh itu, tanyalah diri:

     “Adakah anak saya patut diberikan telefon pintar atas sebab keselamatan atau sebab-sebab lain? Sudahkah saya mempertimbangkan kebaikan dan keburukan memberinya telefon pintar? Bolehkah anak saya menggunakan telefon yang biasa dan bukannya telefon pintar?”

     Seorang bapa yang bernama Todd berkata, “Anda masih dapat membeli telefon yang biasa. Dengan itu, anak anda masih dapat menelefon atau menghantar mesej kepada anda. Anda juga dapat jimat banyak duit.”

  •   “Adakah anak saya dapat menggunakan telefon pintar dengan bertanggungjawab?”

     Bible menyatakan, “Hati orang yang bijaksana menuntunnya ke jalan yang benar.” (Pengkhutbah 10:2) Oleh itu, tanyalah diri:

     “Adakah anak saya boleh dipercayai? Adakah dia berkomunikasi dengan saya secara terbuka? Adakah dia selalu jujur, contohnya tentang siapa kawan-kawannya? Dapatkan dia menunjukkan kawalan diri semasa menggunakan alat elektronik lain seperti TV, tablet, atau komputer?” Seorang ibu yang bernama Serena berkata, “Telefon pintar sangat berguna tetapi juga sangat berbahaya. Jika anda berikan telefon itu kepada seorang anak kecil, dapatkah dia menggunakannya dengan bertanggungjawab?”

  •   “Adakah saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab ini?”

     Bible menyatakan, “Ajarilah anak haluan yang harus ditempuhnya.” (Amsal 22:6) Oleh itu, tanyalah diri:

     “Adakah saya tahu cara menggunakan telefon pintar agar saya dapat mengajar anak saya untuk mengelakkan bahaya? Adakah saya tahu cara menghidupkan kawalan ibu bapa pada tetapan telefon anak saya? Bagaimanakah saya dapat membantu anak saya menggunakan telefon dengan bijak?” Daniel, yang disebut tadi, berkata, “Saya pernah melihat banyak ibu bapa memberikan telefon pintar kepada anak mereka, tetapi tidak memeriksa bagaimana anak menggunakannya.”

 Kesimpulan: Kanak-kanak perlu diajar cara untuk menggunakan telefon pintar dengan bertanggungjawab. Buku Indistractable menyatakan bahawa “kebanyakan anak meluangkan terlampau banyak masa dengan telefon, terutamanya jika ibu bapa tidak mengawasi mereka.”

a Dalam rencana ini, “telefon pintar” merujuk kepada telefon bimbit yang dapat mengakses Internet.

b Daripada buku Disconnected, oleh Thomas Kersting.