Lompat ke kandungan

SIAPAKAH PEREKANYA?

Alat Pembersih Sesungut Semut Kayu

Alat Pembersih Sesungut Semut Kayu

 Kebersihan amat penting bagi serangga. Hal ini membolehkan serangga untuk terbang, merayap, dan mengesan keadaan di sekitarnya dengan baik. Misalnya, jika sesungut semut kotor, kesanggupannya untuk menghidu, mengesan arah, dan berkomunikasi akan terjejas. Oleh itu, seorang zoologi yang bernama Alexander Hackmann, berkata, “Serangga sentiasa bersih. Serangga tahu caranya untuk membersihkan kotoran yang ada pada badan sendiri.”

 Fikirkan: Hackmann dan ahli kumpulannya mengkaji mekanisme yang digunakan oleh sejenis semut kayu (Camponotus rufifemur) untuk membersihkan sesungutnya. Mereka mendapati bahawa semut itu akan membengkokkan kakinya dalam bentuk penyepit yang digunakan sebagai alat pembersih. Penyepit ini akan menanggalkan atau memberus kotoran daripada sesungut semut. Terdapat bulu kasar pada kaki semut yang menanggalkan kotoran yang besar. Selain itu, terdapat bulu-bulu halus yang seperti sikat, yang saiz celahnya tepat seperti saiz bulu pada sesungutnya. “Sikat” itu bertujuan membuang kotoran yang lebih kecil. Akhir sekali, bulu yang paling halus akan menanggalkan kotoran yang sehalus 1/80 daripada diameter rambut manusia.

 Perhatikan cara semut kayu membersihkan sesungutnya

 Hackmann dan ahli kumpulannya percaya bahawa mekanisme yang digunakan semut untuk membersihkan sesungut dapat dimanfaatkan dalam bidang perindustrian. Contohnya, sesetengah bahan sangat sensitif, seperti komponen mikroelektronik dan semikonduktor. Kotoran yang sedikit sahaja pun dapat mengakibatkan kerosakan. Maka, kaedah yang digunakan semut amat berguna dalam bidang sebegini.

 Apakah pandangan anda? Adakah alat pembersih sesungut semut yang cekap wujud secara kebetulan, atau wujud kerana adanya Pencipta?