Lompat ke kandungan

Apakah Itu Penyelamatan?

Apakah Itu Penyelamatan?

Jawapan Bible

 Istilah “selamat” dan “penyelamatan” kadangkala digunakan oleh penulis Bible untuk menyampaikan idea tentang seseorang yang terlepas daripada bahaya atau kebinasaan. (Keluaran 14:13, 14; Kisah 27:20) Namun, istilah ini biasanya merujuk kepada pembebasan daripada dosa. (Matius 1:​21) Memandangkan kematian diakibatkan oleh dosa, manusia yang terselamat daripada dosa mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya.​—Yohanes 3:​16, 17. a

Apakah caranya untuk diselamatkan?

 Untuk diselamatkan, kita mesti menunjukkan iman kepada Yesus dengan mentaati perintahnya.​—Kisah 4:​10, 12; Roma 10:​9, 10; Ibrani 5:9.

 Bible menunjukkan bahawa iman kita harus disertai perbuatan, atau kepatuhan. (Yakobus 2:​24, 26) Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa kita boleh memperoleh penyelamatan dengan hasil usaha sendiri. Penyelamatan merupakan “kurniaan Tuhan” yang berdasarkan “kebaikan hati Tuhan yang unggul,” atau “rahmat.”​—Efesus 2:​8, 9; Alkitab Berita Baik.

Bolehkah kita kehilangan penyelamatan?

 Ya. Seseorang yang telah diselamatkan daripada hampir tenggelam boleh jatuh atau masuk lagi ke dalam air. Begitu juga, seseorang yang telah diselamatkan daripada dosa boleh kehilangan penyelamatan jika dia gagal untuk terus memperlihatkan iman. Oleh itu, Bible menggalakkan orang Kristian yang sudah menerima penyelamatan untuk “berjuang dengan sungguh-sungguh demi kepercayaan.” (Yudas 3) Bible juga memberikan amaran ini: “Teruslah berusaha supaya kamu diselamatkan oleh Tuhan. Lakukan hal itu dengan rasa takut dan hormat.”​—Filipi 2:​12.

Siapakah Penyelamat kita​—Tuhan atau Yesus?

 Bible menyatakan bahawa Tuhan ialah sumber utama penyelamatan. Dia sering dirujuk sebagai “Penyelamat.” (1 Samuel 10:19; Yesaya 43:11; Titus 2:​10; Yudas 25) Selain itu, Tuhan menggunakan beberapa orang lelaki untuk membebaskan bangsa Israel kuno, dan mereka disebut sebagai “pemimpin, yang menyelamatkan.” (Nehemia 9:​27; Hakim-Hakim 3:​9, 15; 2 Raja-Raja 13:5) b Begitu juga, memandangkan Tuhan menyediakan korban tebusan Yesus Kristus untuk menyelamatkan kita daripada dosa, Yesus dipanggil sebagai “Penyelamat.”​—Kisah 5:​31; Titus 1:4. c

Adakah semua orang akan diselamatkan?

 Tidak, sesetengah orang tidak akan diselamatkan. (2 Tesalonika 1:9) Apabila Yesus ditanya, “Sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?” dia menjawab, “Berusahalah sedaya upaya untuk masuk melalui pintu yang sempit. Aku berkata kepada kamu: Ramai orang akan berusaha memasukinya tetapi tidak akan berjaya.”​—Lukas 13:23, 24.

Tanggapan yang salah bahawa semua orang akan diselamatkan

 Tanggapan yang salah: Satu Korintus 15:22 menyatakan bahawa “semua orang akan dihidupkan kerana Kristus.” Maksudnya, semua orang akan diselamatkan.

 Kebenaran: Konteks dalam ayat ini membincangkan tentang pembangkitan. (1 Korintus 15:12, 13, 20, 21, 35) Jadi ungkapan “semua orang akan dihidupkan kerana Kristus” bermaksud bahawa semua orang yang dibangkitkan menerima berkat ini melalui Yesus Kristus.​—Yohanes 11:25.

 Tanggapan yang salah: Titus 2:​11 mengajarkan bahawa semua orang akan diselamatkan kerana ayat ini menyatakan bahawa Tuhan “menyelamatkan seluruh umat manusia.”​—Alkitab Versi Borneo.

 Kebenaran: Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “seluruh” dalam ayat ini juga boleh bermaksud “setiap jenis atau pelbagai.” d Maka, ayat di Titus 2:11 bermaksud bahawa Tuhan menyediakan penyelamatan kepada segala macam orang, termasuk orang “daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.”​—Wahyu 7:​9, 10.

 Tanggapan yang salah: Dua Petrus 3:9 mengajarkan bahawa semua orang akan diselamatkan kerana ayat ini menyatakan bahawa Tuhan “tidak ingin seorang pun dibinasakan.”

 Kebenaran: Tuhan ingin orang diselamatkan, tetapi Dia tidak memaksa mereka untuk menerima penyelamatan yang disediakan-Nya. Pada “hari penghakiman,” Tuhan akan ‘membinasakan orang yang tidak menghormati-Nya.’​—2 Petrus 3:7.

a Dalam Bible, walaupun seseorang dikatakan sudah “diselamatkan,” penyelamatannya daripada dosa dan kematian akan terjadi pada masa depan.​—Efesus 2:5; Roma 13:11.

b Dalam ayat-ayat yang dipetik, beberapa terjemahan menggunakan istilah “juara,” “pembebas,” “wira,” “ketua,” bahkan “seseorang” dan bukannya “penyelamat.” Namun, dalam teks Ibrani asal, perkataan yang digunakan untuk lelaki-lelaki ini juga digunakan di ayat Bible lain yang mengatakan bahawa Tuhan Yehuwa ialah Penyelamat.​—Mazmur 7:​11.

c Nama Yesus berasal daripada nama Ibrani Yehoh·shuʹaʽ, yang bermaksud “Yehuwa Ialah Penyelamatan.”

d Lihat buku Vine’s Complete Expository Dictionary of Old and New Testament Words. Perkataan Yunani yang sama muncul di Matius 5:11. Di ayat itu, Yesus menjelaskan bahawa orang akan mengatakan “segala” yang jahat terhadap pengikutnya.​—Alkitab Versi Borneo.