Lompat ke kandungan

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Easter?

Apakah yang Dikatakan Bible tentang Easter?

Jawapan Bible

 Perayaan Easter tidak berdasarkan Bible. Jika anda mencari sejarah mengenai Easter, anda akan mendapati bahawa makna di sebalik perayaan tersebut berkaitan dengan upacara kesuburan pada zaman kuno. Perhatikan beberapa perkara berikut.

  1.   Nama: Menurut Encyclopædia Britannica, “Sumber asal bagi istilah Easter dalam bahasa Inggeris tidak diketahui. Pada abad ke-8, paderi Anglo-Saxon yang bernama Venerable Bede mengambil istilah itu daripada Eostre, iaitu dewi musim bunga dan waktu subuh.” Manakala yang lain pula mengaitkan Easter dengan Astarte, iaitu dewi kesuburan Fenisia. Astarte pula membawa maksud yang sama dengan dewi Babilon, iaitu Ishtar.

  2.   Kelinci, arnab: Haiwan ini melambangkan kesuburan “yang berasal daripada tradisi zaman kuno dan merupakan simbol bagi Eropah dan Timur Tengah semasa perayaan kafir pada musim bunga.”​—Encyclopædia Britannica.

  3.   Telur: Semasa perayaan Easter, kanak-kanak akan mencari telur Easter yang kononnya dibawa arnab Easter. Tetapi menurut Funk & Wagnalls Standard Dictionary of Folklore, Mythology and Legend, hal itu “bukan sekadar permainan untuk kanak-kanak, sebaliknya merupakan upacara kesuburan yang diwariskan sejak zaman kuno lagi.” Sesetengah budaya percaya bahawa telur Easter “dapat membawa kebahagiaan, kemakmuran, kesihatan, dan perlindungan secara mukjizat.”—Traditional Festivals.

  4.   Pakaian baharu: “Semasa menyambut Eastre atau dewi Musim Bunga Scandinavia, orang yang tidak memakai baju baharu dianggap kurang sopan dan membawa nasib yang malang.”—The Giant Book of Superstitions.

  5.   Penyembahan waktu subuh: Upacara ini dikaitkan dengan upacara pada zaman kuno yang menyembah matahari. Upacara ini diadakan “pada ekuinoks musim bunga. Tujuannya adalah untuk menyambut matahari dan menerima tenaganya yang membolehkan wujudnya hidupan baharu.”—Celebrations—The Complete Book of American Holidays.

 Mengenai asal usul Easter, The American Book of Days dengan jelas menyatakan, “Memang tidak dapat dinafikan bahawa Gereja pada masa awal telah menyerap tradisi kafir yang kuno lalu mengaitkan perayaan ini dengan ajaran orang Kristian.”

 Bible mengingatkan kita agar tidak menyembah Tuhan berdasarkan tradisi atau adat yang tidak disenangi-Nya. (Markus 7:6-8) Dua Korintus 6:17 berkata, “‘Asingkanlah diri daripada mereka,’ firman Yehuwa, ‘dan jangan lagi menyentuh perkara yang najis.’” Orang yang ingin menyenangkan hati Tuhan tidak akan melibatkan diri dalam perayaan Easter.