Lompat ke kandungan

Bilakah Tuhan Mula Menciptakan Alam Semesta?

Bilakah Tuhan Mula Menciptakan Alam Semesta?

Jawapan Bible

 Bible tidak menyatakan bila Tuhan mula menciptakan alam semesta dan tempoh masa yang diambil untuk melakukannya. Bible menyatakan, “Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.” (Kejadian 1:1) Dalam Bible, ungkapan “pada mulanya” tidak menunjukkan bila kerja penciptaan Tuhan bermula secara spesifik. Namun, kita tahu bahawa Tuhan memulakan kerja itu sebelum enam “hari” atau tempoh penciptaan.

 Adakah enam hari penciptaan ini hari yang panjangnya 24 jam?

 Tidak. Dalam Bible, perkataan “hari” boleh merujuk kepada jangka masa yang berbeza mengikut konteksnya. Contohnya, terdapat ayat Bible yang menggambarkan enam hari penciptaan itu sebagai satu hari.—Kejadian 2:4.

 Apakah yang berlaku semasa enam hari penciptaan itu?

 Tuhan mengubah bumi yang “kosong dan tidak berbentuk” menjadi sebuah planet yang dapat didiami makhluk hidup . (Kejadian 1:2) Kemudian, Tuhan menciptakan makhluk-makhluk hidup di bumi. Berikut merupakan peristiwa yang berlaku semasa enam hari penciptaan itu:

  •  Hari 1: Tuhan menyebabkan cahaya mencapai bumi. Hasilnya, bermulalah kitaran waktu siang dan waktu malam.—Kejadian 1:3-5.

  •  Hari 2: Tuhan membentuk ruang untuk memisahkan air yang ada di permukaan bumi dengan air di atas ruang itu.—Kejadian 1:6-8.

  •  Hari 3: Tuhan menyebabkan tanah kering timbul dan menciptakan tumbuh-tumbuhan.—Kejadian 1:9-13.

  •  Hari 4: Tuhan menyebabkan jasad-jasad cakerawala seperti matahari, bulan, dan bintang, jelas kelihatan dari muka bumi.—Kejadian 1:14-19.

  •  Hari 5: Tuhan menciptakan makhluk yang hidup dalam air dan yang berterbangan di langit.—Kejadian 1:20-23.

  •  Hari 6: Tuhan menciptakan binatang yang hidup di darat dan manusia.—Kejadian 1:24-31.

 Pada akhir hari keenam itu, Tuhan berehat daripada kerja-Nya, atau berhenti mencipta.—Kejadian 2:1, 2.

 Adakah catatan di buku Kejadian tepat secara saintifik?

 Catatan Bible tidak menunjukkan proses penciptaan secara terperinci. Sebaliknya, kerja penciptaan digambarkan dalam cara yang mudah difahami orang. Maka para pembaca, bahkan orang yang hidup pada zaman Bible, juga dapat memahami urutan peristiwa penciptaan. Catatan Bible tidak bertentangan dengan fakta sains. Robert Jastrow, seorang pakar astrofizik, menulis, “Butirannya mungkin berbeza, tetapi pada asasnya, prinsip-prinsip astronomi dan catatan dalam buku Kejadian ada persamaannya; terdapat peristiwa-peristiwa tertentu yang menjurus kepada kewujudan manusia, dan hal-hal itu telah berlaku pada waktu yang khusus secara tiba-tiba.”

 Bilakah matahari, bulan, dan bintang diciptakan?

 Bible menyatakan bahawa “pada mulanya, Tuhan menciptakan langit.” (Kejadian 1:1) Pada masa itu, matahari, bulan, dan bintang sudah pun wujud. Namun atmosfera bumi ketika itu sangat tebal. (Kejadian 1:2) Maka pada hari pertama, hanya sedikit cahaya yang dapat dilihat dari bumi, tetapi sumber cahaya masih tidak kelihatan. Namun pada hari keempat, Bible menyatakan bahawa cahaya daripada matahari, bulan, dan bintang mula “menerangi bumi.” Nampaknya, atmosfera bumi pada masa itu tidak lagi begitu tebal. Maka, jasad-jasad itu dapat dilihat dari bumi.—Kejadian 1:17.

 Menurut Bible, berapakah usia bumi kita?

 Bible tidak menyebut tentang usia bumi kita. Kejadian 1:1 hanya menunjukkan bahawa alam semesta, termasuk bumi kita, ada permulaannya. Pernyataan ini tidak bertentangan dengan fakta sains atau pandangan ahli sains berkenaan usia bumi.