Lompat ke kandungan

Siapakah Ketua Malaikat Mikhael?

Siapakah Ketua Malaikat Mikhael?

Jawapan Bible

 Sesetengah agama menggelar Mikhael sebagai “Santo Mikhael.” Nampaknya, Mikhael merupakan nama yang diberikan kepada Yesus sebelum dia datang ke bumi dan selepas dia naik ke syurga. a Mikhael pernah bertikai dengan Syaitan selepas kematian Musa. Mikhael juga pernah membantu satu malaikat untuk menyampaikan mesej Tuhan kepada Nabi Daniel. (Daniel 10:13, 20, 21; Yudas 9) Dengan membela pemerintahan Tuhan dan melawan musuh-musuh Tuhan, Mikhael hidup selaras dengan erti namanya, iaitu “Siapakah Seperti Tuhan?”​—Daniel 12:1; Wahyu 12:7.

 Mengapakah kita dapat menyimpulkan bahawa Yesus ialah Ketua Malaikat Mikhael? Perhatikan sebab-sebab berikut.

  •   Mikhael ialah “ketua malaikat.” (Yudas 9) Gelaran “ketua malaikat” hanya muncul sebanyak dua kali dalam Bible. Gelaran ini tidak pernah digunakan dalam bentuk jamak, dan hanya digunakan untuk merujuk kepada satu malaikat. Salah satu ayat Bible menyatakan bahawa Tuan Yesus yang telah dibangkitkan ‘turun dari syurga, dan dia berseru dengan suara yang lantang, dengan suara ketua malaikat.’ (1 Tesalonika 4:​16) Ya, Yesus dikatakan berseru dengan “suara ketua malaikat” kerana dia ialah ketua malaikat itu, Mikhael.

  •   Mikhael memimpin pasukan tentera malaikat. Bible menyatakan, “Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu,” iaitu Syaitan. (Wahyu 12:7) Mikhael mempunyai kuasa yang besar di alam roh. Bible menggelarnya sebagai “pemimpin malaikat.” (Daniel 10:13, 21; 12:1) Seperti yang dinyatakan oleh seorang cendekiawan Bible, David E. Aune, gelaran ini menunjukkan bahawa Mikhael ialah ketua atau panglima angkatan tentera di syurga.

     Selain Mikhael, Bible hanya menyebut satu lagi nama individu yang berkuasa atas angkatan malaikat. Bible menyatakan bahawa “Tuan Yesus muncul bersama malaikat-malaikatnya yang perkasa dari syurga dalam api yang menyala-nyala. Dia akan mendatangkan pembalasan.” (2 Tesalonika 1:​7, 8; Matius 16:27) Selain itu, apabila Yesus ‘pergi ke syurga, para malaikat, penguasa, dan pemerintah dijadikan taat kepadanya.’ (1 Petrus 3:​21, 22) Memandangkan Tuhan telah melantik Yesus sebagai ketua malaikat, Dia tidak mungkin melantik satu lagi ketua malaikat yang bernama Mikhael. Maka adalah masuk akal untuk menyimpulkan bahawa kedua-dua nama ini, Yesus dan Mikhael, merujuk kepada individu yang sama.

  •   Mikhael “akan muncul” semasa “kesusahan yang paling berat” berlaku. (Daniel 12:1) Dalam buku Daniel, ungkapan “akan muncul” sering digunakan untuk merujuk kepada seorang raja yang tampil untuk mengambil tindakan tertentu. (Daniel 11:​2-4, 21) Yesus Kristus, yang juga merupakan “Firman Tuhan,” akan bertindak sebagai “Raja atas segala raja.” Dia akan membinasakan semua musuh Tuhan dan melindungi umat Tuhan. (Wahyu 19:11-​16) Dia akan berbuat demikian semasa “kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia.”​—Matius 24:21, 42.

a Dalam Bible, terdapat orang yang mempunyai beberapa nama. Misalnya, Yakub (yang juga dipanggil Israel), Petrus (yang juga dipanggil Simon), dan Tadius (yang juga dipanggil Yudas).​—Kejadian 49:​1, 2; Matius 10:​2, 3; Markus 3:​18; Kisah 1:​13.