Lompat ke kandungan

Memahami Bible—Apakah Kuncinya?

Memahami Bible—Apakah Kuncinya?

Jawapan Bible

 Bible sendiri menjelaskan beberapa kunci untuk memahami kandungannya. Tidak kira apa pun latar belakang anda, mesej Bible “tidak terlalu susah untuk difahami dan tidak di luar jangkauan [anda].”—Ulangan 30:11, nota kaki.

Anda perlu

  1.   Memiliki sikap yang betul. Anda perlu terima Bible sebagai Firman Tuhan. Selain itu, tunjukkanlah sikap rendah hati kerana Tuhan menentang orang yang angkuh. (1 Tesalonika 2:13; Yakobus 4:6) Namun, janganlah sekadar mempercayai apa yang anda baca atau dengar tanpa usul periksa, kerana Tuhan ingin anda menggunakan “daya pemikiran [anda].”—Roma 12:1, 2.

  2.   Berdoa untuk kebijaksanaan. Amsal 3:5 menyatakan, “Janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri.” Sebaliknya, ‘teruslah meminta kebijaksanaan daripada Tuhan’ untuk memahami Bible.—Yakobus 1:5.

  3.   Belajar dengan tetap. Anda akan meraih lebih banyak manfaat jika anda mempelajari Bible dengan tetap, dan bukannya sekali-sekala.—Yosua 1:8.

  4.   Belajar mengikut topik. Satu cara untuk belajar Bible dengan berkesan adalah dengan mengkajinya mengikut topik atau subjek. Anda boleh mula dengan “mempelajari ajaran asas,” dan kemudian “berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang” dengan mempelajari ajaran yang lebih mendalam. (Ibrani 6:1, 2) Anda boleh membandingkan satu ayat Bible dengan ayat yang lain. Dengan itu, anda akan mendapati bahawa ayat tertentu dapat menjelaskan ayat yang lain, termasuk ayat yang “sukar difahami.”—2 Petrus 3:16.

  5.   Dapatkan bantuan orang lain. Bible menggalakkan kita untuk menerima bantuan daripada orang yang lebih memahami Bible. (Kisah 8:30, 31) Saksi-Saksi Yehuwa menawarkan program pembelajaran Bible yang percuma. Seperti orang Kristian abad pertama, mereka menggunakan ayat-ayat Bible untuk membantu orang lain memahami apa yang sebenarnya diajarkan Bible.—Kisah 17:2, 3.

Anda tidak perlu

  1.   Sangat pandai atau berpendidikan tinggi. Dua belas orang rasul Yesus memahami Ayat-Ayat Suci dan mengajarkannya kepada orang lain, walaupun sesetengah orang menganggap para rasul sebagai “orang biasa yang tidak berpendidikan.”—Kisah 4:13.

  2.   Wang. Anda boleh mempelajari Bible secara percuma. Yesus memberitahu murid-muridnya, “Kamu menerima secara percuma, jadi berilah dengan percuma.”—Matius 10:8.