Lompat ke kandungan

Mengapakah Berdoa? Adakah Tuhan Akan Menjawab Doa Saya?

Mengapakah Berdoa? Adakah Tuhan Akan Menjawab Doa Saya?

Jawapan Bible

 Ya. Contoh dalam Bible dan kisah hidup seseorang menunjukkan bahawa Tuhan menjawab doa. Bible berkata, “Dia memenuhi keinginan orang yang takut akan-Nya; apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar lalu menyelamatkan mereka.” (Mazmur 145:19) Namun, cara anda berdoa juga dapat menentukan sama ada Tuhan akan menjawab doa anda atau tidak.

Perkara yang penting bagi Tuhan

  •   Doa harus ditujukan kepada Tuhan sahaja, bukannya Yesus, Maria, santo-santo, malaikat-malaikat, atau patung. Hal ini kerana Tuhan Yehuwa sahajalah “Pendengar doa.”​—Mazmur 65:2.

  •   Doa harus selaras dengan kehendak Tuhan seperti yang dicatatkan dalam Bible.​—1 Yohanes 5:14.

  •   Doa harus diucapkan melalui nama Yesus sebagai tanda kita mengakui kedudukannya. Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.”​—Yohanes 14:6.

  •   Doa harus disertai iman. Jika anda kekurangan iman, mintalah Tuhan untuk memberi anda lebih banyak iman.​—Matius 21:22; Lukas 17:5.

  •   Tunjukkan kerendahan hati dan keikhlasan. Bible berkata, “Meskipun Yehuwa begitu agung, Dia akrab dengan orang yang rendah hati.”​—Mazmur 138:6.

  •   Sentiasa berdoa. Yesus berkata, “Teruslah meminta, dan kamu akan menerimanya.”​—Lukas 11:9.

Perkara yang tidak penting bagi Tuhan

  •   Kaum atau bangsa anda. “Tuhan tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”​—Kisah 10:34, 35.

  •   Kedudukan badan anda. Semasa berdoa, anda boleh duduk, bersujud, berlutut, atau berdiri.​—1 Tawarikh 17:16; Nehemia 8:6; Daniel 6:10; Markus 11:25.

  •   Sama ada anda berdoa dengan suara atau dalam hati. Tuhan bahkan menjawab doa dalam hati yang tidak diketahui oleh orang lain.​—Nehemia 2:1-6.

  •   Sama ada masalah anda besar atau kecil. Tuhan menggalakkan anda untuk ‘lemparkan segala kekhuatiran anda kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang anda.’​—1 Petrus 5:7.