Lompat ke kandungan

30 DISEMBER 2019
BERITA GLOBAL

Setelah Siklon Idai, Saksi-Saksi Yehuwa Mengadakan Operasi Bantu Bencana secara Besar-Besaran

Setelah Siklon Idai, Saksi-Saksi Yehuwa Mengadakan Operasi Bantu Bencana secara Besar-Besaran

Semasa Siklon Idai menghentam bahagian pantai tenggara Afrika pada Mac 2019, pejabat-pejabat cawangan di Malawi, Mozambique, dan Zimbabwe bertindak dengan cepat dan menubuhkan 14 Jawatankuasa bantuan Bencana (DRC) untuk menyokong para Saksi yang terpengaruh. Setakat ini, saudara-saudara kita telah siap membina semula atau membaiki lebih daripada 650 buah rumah, daripada 1,434 buah rumah milik para Saksi yang telah dirosakkan di tiga negara itu. Daripada 29 Dewan Perjumpaan yang dirosakkan, 8 telah dibina semula, dan 10 lagi telah dibaiki.

Dalam sembilan bulan yang lalu, lebih daripada 3,500 orang saudara saudari telah menyertai kerja bantuan bencana secara besar-besaran ini. Sesetengah daripada mereka datang dari tempat yang jauh, misalnya dari negara-negara lain di Afrika, Brazil, Perancis, Itali, dan Amerika Syarikat. Para sukarelawan yang mahir telah melatih saudara saudari tempatan dalam kemahiran tertentu, seperti pertukangan batu dan kayu.

Ahli kumpulan pembinaan di Malawi bergambar di depan sebuah rumah batu yang sedang dibina mereka

Di Mozambique, Siklon Idai telah memusnahkan kira-kira 70 peratus daripada tanaman saudara saudari kita yang tinggal di daerah Manica dan Sofala. Di bawah arahan pejabat cawangan, DRC di kawasan itu mengedarkan kira-kira 430 tan makanan. Bekalan ini dipilih sesuai dengan diet tempatan dan merangkumi tepung jagung, kacang, minyak, garam dan gula. Selain itu, lima tan makanan utama seperti tomato, jagung dan beras turut diedarkan.

Menurut anggaran pejabat cawangan Malawi, kerja bantu bencana di sana akan selesai pada Februari 2020. Kerja di Mozambique pula dijangka akan selesai sebelum Januari 2020, dan kerja di Zimbabwe selesai pada September 2019. Kos anggaran untuk seluruh operasi besar-besaran ini ialah $4 juta dolar Amerika Syarikat.

Trent Edson, ahli Jawatankuasa Pejabat Cawangan Zimbabwe yang turut berkhidmat dalam Bahagian Bantuan Bencana, berkata, “Saudara saudari sangat gembira melihat rumah mereka dibina semula. Kami sangat terharu melihat keprihatinan yang ditunjukkan para rakan seiman, baik yang datang dari kawasan berdekatan mahupun dari tempat yang jauh. Ramai yang rela membantu dalam apa jua cara yang mungkin.”

Lebih daripada 10,000 saudara saudari di bahagian tenggara Afrika telah dipengaruhi oleh ribut itu. Bersama mereka, kami berterima kasih kepada Yehuwa atas kasih persaudaraan yang mendalam yang ditunjukkan “pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17.

 

Pekerja bantu bencana telah bina semula rumah Saudara Welosi Mbendera dan isterinya, Saudari Esinala Mbendera, dari Sidang Nkolong’onjo di Malawi

Saudara Nehemiah Tigere dan isterinya, Saudari Fatima Sengami Tigere, berdiri di depan rumah mereka yang telah dibina semula di Zimbabwe

Saudara Witness Jabu dan Saudara Augustine Kamadzi, yang berkhidmat sebagai penyelia litar, sedang melawat dan berbincang dengan sebuah keluarga Saksi yang rumah mereka telah dirosakkan di Nchalo, Malawi

Saudara-saudara di pusat bantuan bencana sedang memunggah guni-guni berisi benih jagung yang bakal diedarkan kepada para saudara di Mozambique

Saudara-saudara sedia menyeberangi Sungai Shire menggunakan kanu-kanu untuk membawa bekalan bantuan bencana kepada saudara saudari yang tinggal berdekatan bahagian sempadan di Mozambique

Saudara saudari membawa bekalan bantuan bencana yang diterima dari Malawi ke pusat pengedaran di Dewan Perjumpaan di Kampung Tengani, Mozambique

Saudara saudari di Dewan Perjumpaan di Kampung Tengani, Mozambique, menerima bekalan bantuan bencana