Lompat ke kandungan

Lokasi serbuan di Rusia

2 MEI 2018
RUSIA

Saksi-Saksi Yehuwa Mula Ditentang dengan Hebat di Rusia

Saksi-Saksi Yehuwa Mula Ditentang dengan Hebat di Rusia

Pihak polis telah menyerbu rumah Saksi-Saksi Yehuwa di sekurang-kurangnya tujuh bandar di Rusia. Ini merupakan sebuah kempen yang dilakukan oleh pasukan polis gerak khas (OMON). Dalam sesetengah serbuan, mereka membawa mesingan dan memakai topeng semasa menyerbu rumah para Saksi. Mereka mengacukan senjata api terhadap para Saksi dan menahan mereka yang tua dan muda untuk disoal siasat.

Arkadya Akopyan bersama dengan isterinya Sonya, dan dua cucu mereka

Sepanjang tahun yang lalu, sekurang-kurangnya 10 kes sedang disiasat oleh pihak berkuasa dan lima Saksi-Saksi Yehuwa dipenjarakan, termasuk Dennis Christensen yang telah berada dalam tahanan sebelum dibicarakan sejak 25 Mei 2017. Seorang Saksi lain, Arkadya Akopyan, yang berumur 69 tahun sedang menjalani perbicaraan di Republik Kabardino-Balkaria. Mereka semua mungkin dijatuhkan hukuman penjara sama ada 2 hingga 10 tahun hanya kerana mereka berkumpul bersama untuk tujuan beribadat.

Pada 20 April 2017, Mahkamah Agung Persekutuan Rusia telah mengharamkan Pusat Pentadbiran Saksi-Saksi Yehuwa, termasuk kesemua 395 perbadanan sah tempatan Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa perbicaraan mahkamah, kerajaan Rusia mengatakan bahawa pembubaran perbadanan sah Saksi-Saksi Yehuwa tidak akan mempengaruhi kebebasan para Saksi untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Namun tindakan yang diambil pihak kerajaan adalah bercanggahan dengan apa yang dikatakan.

Selain daripada membubarkan perbadanan sah Saksi-Saksi Yehuwa, pihak berkuasa juga merampas harta milik para Saksi, serta melancarkan serangan terhadap mereka dan kegiatan agama mereka. Kini, lebih daripada 175,000 Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia boleh disabitkan kesalahan jenayah jika mereka mengamalkan kepercayaan mereka.

Diserbu, Disoal Siasat, dan Ditahan

Sejak Januari 2018, Saksi-Saksi Yehuwa mengalami semakin banyak tentangan daripada pihak berkuasa.

20 April 2018, Shuya, Wilayah Ivanovo: Pihak berkuasa telah menggeledah rumah empat orang Saksi. Dmitriy Mikhailov dibawa ke balai polis, diletak dalam tahanan, dan kemudian dibebaskan. Satu kes jenayah terhadapnya telah dibuka dan dia dituduh di bawah Artikel 282.2(2) dalam Kanun Jenayah dengan kesalahan ‘terlibat dalam kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Dmitriy Mikhailov tidak dibenarkan untuk meninggalkan Shuya sehingga notis lanjut diberikan.

19 April 2018, Vladivostok: Pihak polis dan Agensi Keselamatan Persekutuan (FSB) telah menyerbu sebuah apartmen dan membawa Valentin Osadchuk serta tiga wanita yang lanjut usia ke balai polis untuk disoal siasat. Pihak berkuasa telah mendakwa Valentin Osadchuk di bawah Artikel 282.2(2) dalam Kanun Jenayah, dan jika disabitkan bersalah, dia mungkin dijatuhkan hukuman penjara selama dua hingga empat tahun. Kemudian, Valentin Osadchuk telah ditahan sebelum dibicarakan. Pada 23 April, Mahkamah Daerah Frunzenskiy mengarahkan bahawa Saudara Valentin Osadchuk akan ditahan sebelum dibicarakan hingga 20 Jun 2018. Kini, dia berada dalam tahanan di Penjara Penyiasatan No. 1 di Vladivostok.

18 April 2018, Polyarny, Wilayah Murmansk: Pada petang itu, pihak polis dan anggota OMON yang bertopeng dan bersenjatakan mesingan telah merempuh masuk ke dalam rumah Roman Markin. Mereka mengacukan senjata terhadapnya dan memaksanya untuk bertiarap. Apabila anak perempuannya yang masih remaja melihat pasukan polis itu, dia juga terus meniarap di lantai. Pihak polis kemudian menggeledah rumahnya dan membawa Saudara Markin ke balai polis serta menahannya sebelum dibicarakan.

Pada petang itu juga, pihak polis telah menggeledah rumah 14 Saksi yang lain di kawasan itu. Telefon bimbit, tablet, dan barangan yang lain telah dirampas. Kemudian, para Saksi telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Kes jenayah telah dibuka terhadap Saudara Markin dan seorang lagi Saksi, Viktor Trofimov. Mereka berdua telah didakwa di bawah Artikel 282.2(1) dalam Kanun Jenayah atas tuduhan ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Jika disabit bersalah, mereka mungkin dijatuhkan hukuman penjara selama 6 hingga 10 tahun. Kedua-dua saudara itu sedang ditahan sebelum dibicarakan di Penjara No. 1 di Murmansk.

10 April 2018, Daerah Zaton, Ufa: Para penyiasat dan anggota OMON telah menyerbu dan menggeledah rumah beberapa orang Saksi antara pukul 6:30 pagi dan 7 pagi. Dalam salah satu serbuan, pihak berkuasa telah menyoal siasat para Saksi. Dalam satu kes, seorang pegawai telah berkata, “Jika kamu mengaku bahawa kamu bukan lagi anggota organisasi Saksi-Saksi Yehuwa, kami akan terus bebaskan kamu.” Dalam kes yang lain pula, seorang pegawai mengatakan, “Kami akan menghapuskan kamu semua dari muka bumi ini.” Semua Saksi itu telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan untuk mengambil cap jari mereka.

Para pegawai yang menyerbu rumah sepasang suami isteri telah mengacukan senjata terhadap mereka dan kemudian mula menggeledah rumah pasangan itu. Selepas itu, salah seorang polis memaksa Saudari Khafizova untuk memasuki kereta polis dan dia dibawa ke balai polis untuk disoal siasat. Encik Khafizov bukan seorang Saksi-Saksi Yehuwa.

Anatoliy dan Alyona Vilitkevich, sebelum Anatoliy ditangkap

Pihak polis telah menyerbu rumah Anatoliy Vilitkevich dan menangkapnya. Mereka juga memberitahu isterinya bahawa dia tidak akan berjumpa dengan suaminya untuk “masa yang lama.” Anatoliy Vilitkevich telah didakwa di bawah Artikel 282.2(1) dalam Kanun Jenayah atas tuduhan ‘mengatur kegiatan organisasi yang ekstremis.’ Dia juga telah ditahan sebelum dibicarakan hingga 2 Jun 2018. Jika disabitkan bersalah, dia mungkin dipenjarakan untuk tempoh maksimum 10 tahun.

Mac 2018, Oryol: Selain kes Dennis Christensen, pihak berkuasa membuka satu lagi kes terhadap seorang lagi Saksi, Sergey Skrynnikov, selepas serbuan dilakukan di tujuh buah rumah di Oryol pada Mei 2017. Saudara Skrynnikov belum didakwa secara rasmi tetapi dia dituduh ‘terlibat dalam kegiatan organisasi yang ekstremis’ di bawah Artikel 282.2(2). Jika disabitkan bersalah, dia mungkin dipenjarakan selama dua hingga empat tahun.

7 Februari 2018, Belgorod: Sekumpulan besar penguat kuasa menyerbu sekurang-kurangnya 10 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa. Pemilik rumah ditolak ke dinding dan ditiarapkan ke lantai dengan kasar. Pihak polis menggeledah rumah dan merampas barangan elektronik, pasport, gambar, dan wang. Mereka membawa semua Saksi ke balai polis untuk disoal siasat. Selepas itu, mereka semua dibebaskan kecuali Anatoly Shalyapin dan Sergei Voikov. Polis menahan kedua-dua lelaki tersebut selama 48 jam lalu membebaskan mereka. Namun, mereka tidak dibenarkan untuk meninggalkan Belgorod.

23 Januari 2018, Kemerovo: Polis menyerbu dan menggeledah 12 buah rumah Saksi-Saksi Yehuwa dan merampas semua barang elektronik, buku-buku agama, dan dokumen yang lain. Sebelum serbuan itu, seorang lelaki berpura-pura menjadi salah seorang Saksi dan menghadiri perjumpaan Saksi. Lelaki itu merakam perjumpaan secara senyap dan memberikan rakaman itu kepada pihak polis. Pihak berkuasa menggunakan rakaman itu untuk membuka satu kes siasatan jenayah.

Keputusan Mahkamah Agung Mungkin Mencerai-Beraikan Keluarga

Selain daripada tindakan pihak polis dan FSB yang tidak munasabah, pihak berkuasa Rusia memerintahkan bahawa kerajaan boleh mengambil anak-anak para Saksi untuk menjalani “pemulihan.” Pada 14 November 2017, pihak mahkamah (Supreme Court Plenum of the Russian Federation) mengeluarkan Resolusi No. 44, yang menyatakan bahawa ibu bapa boleh “kehilangan hak penjagaan anak” sekiranya mereka melibatkan anak mereka dalam organisasi agama yang dilarang kerajaan dan digelar “ekstremis.”

Pada 23 November 2017, Kementerian Pendidikan dan Sains mengisytiharkan pernyataan di seluruh negara mengenai usaha “pemulihan” bagi anak-anak yang terdedah kepada “ideologi . . . agama yang ekstremis.” Mereka harus menjalani pemulihan supaya dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat. Terdapat dua kumpulan yang menjadi sasaran, iaitu anak-anak ISIS dan Saksi-Saksi Yehuwa. Kementerian juga mengatakan bahawa terdapat “puluhan ribu anak kecil dan remaja” yang mempunyai ibu bapa Saksi-Saksi Yehuwa. Setakat ini, tiada anak Saksi yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka.

Bilakah Semua Ini Akan Berakhir?

Tiada ahli dalam Majlis Eropah yang pernah melancarkan serangan yang begitu teruk terhadap golongan agama yang beribadat secara aman. Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia tidak lagi dapat berkumpul untuk beribadat, dan membaca atau mempelajari Bible secara terbuka. Seperti yang dilakukan pada zaman Soviet, mereka harus beribadat secara rahsia supaya tidak ditangkap dan dituduh melakukan jenayah.

Saksi-Saksi Yehuwa di seluruh dunia sangat risau tentang keadaan rakan seiman mereka di Rusia dan kesan daripada tindakan kerajaan terhadap rakan seiman mereka secara emosi, rohani, dan jasmani. Philip Brumley yang merupakan Penasihat Undang-Undang Saksi-Saksi Yehuwa mengatakan, “Kerajaan Rusia harus menghentikan penganiayaan ini. Mereka harus mematuhi undang-undang antarabangsa untuk menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beragama. Mula-mula, pihak berkuasa telah menyerang perbadanan sah para Saksi. Kemudian, mereka mula memenjarakan para Saksi. Apa lagi yang akan mereka lakukan terhadap Saksi-Saksi Yehuwa di Rusia?”