Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”​—Yakobus 4:8

Adakah Tuhan Mendengar Doa Kita?

Adakah Tuhan Mendengar Doa Kita?

Pernahkah anda rasa bahawa Tuhan tidak menjawab doa anda? Sebenarnya, banyak orang pun rasa begitu kerana masalah mereka tidak hilang walaupun mereka telah berdoa. Adakah Tuhan sengaja tidak mendengar doa kita? Tidak! Bible meyakinkan kita bahawa Tuhan mendengar doa kita jika kita berdoa dalam cara yang betul. Perhatikan apa yang dikatakan Bible.

TUHAN MEMANG MENDENGAR DOA KITA.

“Ya Tuhan, Engkau ialah Pendengar doa; segala macam orang akan datang kepada-Mu.”​—Mazmur 65:2.

Biarpun sesetengah orang tidak percaya bahawa Tuhan mendengar doa mereka, mereka tetap berdoa kerana hal itu buat mereka rasa lega. Tetapi, doa bukan sekadar terapi untuk menenangkan hati dan minda. Bible kata, ‘Yehuwa * dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya; Dia menghampiri semua orang yang berseru kepada-Nya dengan ikhlas. Apabila mereka berseru meminta tolong, Dia akan mendengar.’​—Mazmur 145:18, 19.

Maka, kita dapat yakin bahawa Tuhan Yehuwa mendengar doa penyembah-Nya. Dengan penuh kasih, Dia berkata, “Kamu akan berseru kepada-Ku. Kamu akan datang untuk berdoa kepada-Ku, dan Aku akan mendengar doa kamu.”​—Yeremia 29:12.

TUHAN MAHU ANDA BERDOA KEPADA-NYA.

“Teruslah berdoa dengan tekun.”—Roma 12:12.

Bible menggalakkan kita untuk ‘terus berdoa’ atau “berdoa pada setiap kesempatan.” Jelaslah, Tuhan Yehuwa mahu kita berdoa kepada-Nya.​—Matius 26:41; Efesus 6:18.

Tetapi, mengapakah Tuhan ingin kita berdoa kepada-Nya? Fikirkan contoh ini: Seorang bapa pasti gembira apabila anak kecilnya meminta bantuannya. Walaupun bapa itu tahu perasaan dan keperluan anaknya, dia masih gembira semasa mendengar kata-kata itu. Mengapa? Kata-kata itu menunjukkan bahawa anaknya mempercayainya dan rapat dengannya. Begitu juga, doa menunjukkan bahawa kita percaya kepada Tuhan dan mahu mendekati-Nya.​—Amsal 15:8; Yakobus 4:8.

TUHAN MENGAMBIL BERAT TERHADAP ANDA.

“Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 Petrus 5:7.

Tuhan ingin kita berdoa kepada-Nya kerana Dia mengasihi dan mengambil berat tentang kita. Dia tahu segala kekhuatiran kita dan ingin membantu kita.

Bible mencatatkan kisah seorang raja yang setia. Sepanjang hidupnya, dia berdoa kepada Tuhan Yehuwa untuk meminta bantuan dan meluahkan isi hatinya. (Mazmur 23:1-6) Apakah perasaan Tuhan terhadapnya? Tuhan amat mengasihinya dan mendengar doa-doanya. (Kisah 13:22) Begitu juga, Tuhan akan mendengar doa kita kerana Dia prihatin terhadap kita.

“AKU MENGASIHI YEHUWA KERANA DIA MENDENGAR SUARAKU”

Kata-kata itu diucapkan oleh salah seorang penulis buku Mazmur. Dia yakin bahawa Tuhan mendengar doanya dan hal itu menguatkannya. Dia rasa lebih rapat dengan Tuhan dan dapat menghadapi dugaan hidup dengan tabah.​—Mazmur 116:1-9.

Apabila kita yakin bahawa Tuhan mendengar doa kita, kita akan terdorong untuk terus berdoa. Perhatikan contoh Pedro dari Sepanyol. Anaknya yang berumur 19 tahun telah menjadi mangsa kemalangan jalan raya. Pedro sangat perit hati dan merayu kepada Tuhan berulang kali untuk mendapat kelegaan dan sokongan. Apakah hasilnya? Pedro berkata, “Yehuwa menjawab doa saya dengan mengutus rakan Kristian untuk membantu dan melegakan saya dan isteri saya.”

Doa kita mungkin dijawab melalui sahabat yang memberikan kelegaan dan sokongan

Memang, doa tidak mengembalikan anak Pedro yang sudah meninggal. Tetapi, mereka masih mendapat banyak manfaat melalui doa. Isteri Pedro, iaitu María Carmen, berkata, “Doa membantu saya bertahan dan menghadapi masa yang susah itu. Saya tahu Tuhan Yehuwa memahami perasaan saya. Jadi, saya mendapat kedamaian dan ketenangan hati selepas berdoa kepada-Nya.”

Catatan Bible dan kisah hidup tadi membuktikan bahawa Tuhan memang mendengar doa kita. Namun, bukan semua doa didengari-Nya. Mengapa?

^ per. 5 Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan.​—Mazmur 83:18.