Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

3 | Belajar daripada Watak-Watak Bible

3 | Belajar daripada Watak-Watak Bible

BIBLE MENGANDUNGI . . . Kisah tentang lelaki dan wanita yang setia yang mempunyai “perasaan seperti kita.”​—YAKOBUS 5:17.

Maksudnya

Bible mengandungi banyak kisah benar tentang lelaki dan wanita yang mengalami bermacam-macam emosi. Semasa membaca kisah mereka, kita mungkin menjumpai watak Bible yang keadaannya mirip dengan kita.

Manfaatnya untuk Kita

Kita semua mahu orang lain memahami perasaan kita, terutamanya semasa kita sedang bergelut dengan masalah kesihatan mental. Semasa membaca kisah benar watak-watak Bible, kita mungkin mendapati bahawa ada antara mereka yang mengalami fikiran dan perasaan yang sama seperti kita. Hasilnya, kita akan sedar bahawa kita tidak keseorangan semasa berdepan dengan keresahan dan gangguan emosi.

  • Catatan Bible mengandungi luahan hati banyak orang yang berasa terdesak dan tidak berdaya. Pernahkah anda berfikir, “Saya tidak dapat tahan lagi”? Musa, Elia, dan Daud pun pernah berasa begitu.​—Bilangan 11:14; 1 Raja-Raja 19:4; Mazmur 55:4.

  • Bible mengisahkan seorang wanita yang bernama Hana. Dia berasa “pedih hati” kerana dia mandul dan diejek oleh madunya Penina.​—1 Samuel 1:6, 10.

  • Kita mungkin berasa seperti watak Bible yang bernama Ayub. Biarpun imannya kuat, dia pernah berasa sangat susah hati dan bahkan berkata, “Aku membenci hidupku; aku tidak mahu hidup lagi.”​—Ayub 7:16.

Dengan mempelajari bagaimana watak-watak Bible ini mengatasi corak pemikiran yang negatif, kita dapat meraih kekuatan dan belajar untuk menangani masalah kita.