Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Alisa

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Turki

Mereka Rela Berkhidmat​—Di Turki

ORANG Kristian abad pertama berusaha untuk menyebarkan “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” kepada sebanyak orang yang mungkin. (Mat. 24:14) Ada yang pergi ke negara asing. Contohnya, Rasul Paulus pernah melawat kawasan yang hari ini dikenali sebagai Turki untuk menyebarkan berita baik. * Kira-kira 2,000 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2014, suatu kempen menginjil yang istimewa telah diadakan di Turki. Apakah tujuan kempen ini? Siapakah yang terlibat?

“APAKAH YANG SEDANG BERLAKU?”

Terdapat lebih daripada 2,800 penyiar di Turki, tetapi penduduknya berjumlah 79 juta orang. Maksudnya, nisbah penyiar kepada bilangan penduduk di Turki ialah 1 kepada 28,000. Sudah tentu para penyiar tempatan tidak dapat mencapai semua orang di negara tersebut. Maka kempen istimewa ini bertujuan untuk mencapai sebanyak orang yang mungkin dalam masa yang singkat. Kira-kira 550 orang penyiar dari negara asing yang pandai bertutur dalam bahasa Turki telah menyertai kempen ini dan menginjil bersama penyiar tempatan. Apakah hasilnya?

Kesaksian yang menyeluruh diberikan. Sebuah sidang di Istanbul menulis, “Apabila orang nampak kami, mereka bertanya, ‘Ada konvensyen istimewa di sini? Kami nampak Saksi-Saksi Yehuwa di merata tempat!’” Sebuah sidang di Izmir pula menulis, “Seorang lelaki yang bekerja di perhentian teksi bertanya kepada seorang penatua tempatan, ‘Apakah yang sedang berlaku? Kamu semua nampaknya lebih giat berbanding dahulu!’” Ya, kempen ini telah menarik perhatian orang.

Steffen

Penyiar dari negara asing juga sangat menikmati kerja penyebaran. Steffen dari Denmark berkata, “Setiap hari, saya dapat menginjil kepada orang yang tidak pernah mendengar tentang Yehuwa. Saya rasa bahawa saya benar-benar sedang mengisytiharkan nama Yehuwa.” Jean-David dari Perancis menulis, “Kami menggunakan masa berjam-jam untuk meliputi suatu kawasan yang kecil. Sangat seronok! Banyak orang tidak kenal Saksi-Saksi Yehuwa. Hampir di setiap rumah, kami dapat memulakan perbualan, menunjukkan video, dan meninggalkan bahan bacaan.”

Jean-David (tengah)

Penyiar yang berjumlah 550 orang telah menawarkan kira-kira 60,000 naskhah bahan bacaan dalam hanya dua minggu! Sememangnya, kesaksian yang menyeluruh diberikan melalui kempen istimewa ini.

Semangat untuk kerja penyebaran semakin membara. Kempen istimewa ini telah mendorong banyak penyiar tempatan untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Jumlah perintis biasa di Turki telah meningkat sebanyak 24 peratus sepanjang 12 bulan selepas kempen ini berakhir.

Şirin

Kempen ini juga telah membantu penyiar dari negara asing. Şirin, seorang saudari dari Jerman, menulis: “Saudara saudari di Turki melakukan kesaksian tidak formal dengan mudah. Saya seorang pemalu, dan kesaksian tidak formal sangat mencabar bagi saya. Tetapi melalui kempen istimewa ini, teladan penyiar tempatan, dan melalui doa, saya dapat melakukannya. Saya bahkan dapat menginjil dan menawarkan risalah semasa menaiki kenderaan awam! Saya tidak lagi pemalu seperti dahulu.”

Johannes

Johannes dari Jerman berkata, “Saya perhatikan bahawa penyiar di Turki sangat ingin mengongsi kebenaran kepada seberapa banyak orang yang mungkin. Mereka memberikan kesaksian pada setiap kesempatan. Saya bertekad untuk melakukan hal yang sama apabila kembali ke Jerman. Sekarang, saya menginjil kepada lebih banyak orang berbanding dahulu.”

Zeynep

“Kempen ini bantu saya jadi lebih berani dan yakin kepada Yehuwa,” kata Zeynep dari Perancis.

Hubungan para penyiar semakin akrab. Kasih dan perpaduan antara saudara saudari dari pelbagai negara meninggalkan kesan yang mendalam. Jean-David, yang disebutkan tadi, berkata, “Saudara saudari sangat ramah. Mereka menganggap kami sebagai kawan dan keluarga mereka. Mereka menjemput kami ke rumah mereka. Saya selalu membaca tentang persaudaraan antarabangsa. Tetapi kali ini saya sendiri telah merasainya. Saya bangga menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, dan saya bersyukur atas peluang istimewa ini.”

Claire (tengah)

“Tidak kira dari Denmark, Perancis, Jerman, atau Turki, kami semua bagaikan sebuah keluarga. Saya rasa Tuhan seolah-olah telah ambil pemadam yang besar dan padamkan semua sempadan yang memisahkan orang,” kata Claire dari Perancis.

Stéphanie (tengah)

Stéphanie dari Perancis berkata, “Kempen ini mengajar kami bahawa apa yang menyatukan kami bukanlah budaya atau bahasa, tetapi kasih kepada Yehuwa.”

MANFAAT YANG LEBIH BESAR

Banyak penyiar dari negara asing mula berfikir untuk berpindah ke Turki agar dapat membantu di sana. Beberapa orang sudah pun berbuat demikian, dan usaha mereka sangat dihargai.

Contohnya, selama bertahun-tahun, 25 orang penyiar dalam sebuah kumpulan terpencil hanya mempunyai seorang penatua. Betapa gembiranya mereka apabila enam orang penyiar dari Jerman dan Belanda berpindah ke situ pada tahun 2015!

BERKHIDMAT DI TEMPAT YANG MEMERLUKAN BANTUAN

Penyiar yang berpindah ke Turki ada kalanya menghadapi cabaran, tetapi kehidupan mereka sangat bermakna. Perhatikanlah pengalaman mereka:

Federico

“Kerana tidak memiliki banyak harta benda, saya rasa lebih bebas dan dapat bertumpu kepada hal yang lebih penting,” kata Federico, seorang saudara dari Sepanyol yang berumur 40-an. Adakah dia akan menggalakkan orang untuk menceburi khidmat ini? “Ya, sudah tentu!” katanya. “Apabila kamu berpindah ke negara asing untuk bantu orang mengenal Yehuwa, kamu menunjukkan bahawa kamu percaya kepada-Nya, dan Dia pasti akan menjaga kamu.”

Rudy

“Kami sangat berpuas hati kerana dapat berkhidmat di sini dan menginjil kepada banyak orang yang belum pernah mendengar tentang kebenaran,” kata Rudy, seorang saudara dari Belanda yang sudah berumur lewat 50-an. “Apabila kami melihat orang menerima kebenaran dengan gembira, kami pun amat bersukacita.”

Sascha

Sascha, seorang saudara dari Jerman yang berumur 40-an, berkata, “Setiap kali saya keluar menginjil, saya berjumpa dengan orang yang mendengar tentang kebenaran buat kali pertama. Membantu mereka untuk mengenal Yehuwa memberi saya kepuasan yang amat besar.”

Atsuko

Atsuko, seorang saudari dari Jepun yang berumur pertengahan 30-an, berkata, “Dulu, saya selalu berharap agar Armagedon segera datang. Tetapi selepas berpindah ke Turki, saya bersyukur kepada Yehuwa atas kesabaran-Nya. Cara Yehuwa membimbing kerja penyebaran juga mendorong saya untuk semakin mendekati-Nya.”

Alisa, seorang saudari dari Rusia yang berumur awal 30-an, berkata, “Saya dapat merasai kebaikan Yehuwa dalam khidmat saya.” (Mzm. 34:9) Dia menambah, “Yehuwa bukan sahaja Bapa saya, tetapi juga Sahabat akrab saya. Setiap situasi yang saya alami mengeratkan hubungan saya dengan-Nya. Kehidupan saya penuh dengan detik indah, pengalaman yang menarik, dan berkat yang melimpah!”

LIHATLAH KE ARAH LADANG-LADANG

Melalui kempen istimewa ini, berita baik dapat disebarkan kepada lebih banyak orang di Turki. Namun, masih ada banyak tempat yang belum dikunjungi. Setiap hari, penyiar yang berpindah ke Turki berjumpa dengan orang yang tidak pernah mendengar tentang Yehuwa. Inginkah anda berkhidmat di kawasan sedemikian? Kami menggalakkan anda untuk melihat ke arah ‘ladang yang sudah menguning dan siap untuk dituai.’ (Yoh. 4:35) Dapatkah anda berkhidmat di kawasan yang lebih memerlukan bantuan? Jika ya, ambillah langkah-langkah praktikal sekarang untuk mencapai matlamat tersebut. Yang pasti, jika anda lebih giat menyebarkan berita baik “sampai ke hujung bumi,” anda pasti akan menikmati berkat yang tidak terhingga!​—Kis. 1:8.

^ per. 2 Lihat brosur “Lihatlah Negeri yang Baik” dalam bahasa Indonesia, muka surat 32-33.