Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kempen yang Terancang Membuahkan Hasil

Kempen yang Terancang Membuahkan Hasil

María Isabel ialah seorang penyiar muda yang bersemangat dari bandar San Bernardo, Chile, yang terletak di Amerika Selatan. Dia dan keluarganya ialah orang Mapuche yang bertutur dalam bahasa Mapudungun. Seluruh keluarganya sedang menyokong usaha pembentukan sebuah sidang bahasa Mapudungun.

María Isabel telah mendengar pengumuman bahawa Peringatan kematian Kristus akan diadakan dalam bahasa Mapudungun dan sebanyak 2,000 keping surat jemputan Peringatan telah disediakan. Dia mula berfikir tentang bagaimana dia dapat membantu. Dia teringat akan pengalaman baik penyiar muda lain yang menginjil kepada rakan sekolah dan guru-guru. Dia meminta pendapat ibu bapanya dan mereka memutuskan bahawa María Isabel perlu memikirkan cara untuk mengedarkan surat jemputan itu di sekolah. Apakah rancangannya?

Pertama sekali, María Isabel meminta kebenaran pihak sekolah untuk memaparkan surat jemputan dekat pintu utama. Mereka memberinya kebenaran dan juga memuji usahanya. Guru besarnya bahkan membuat pengumuman tentang jemputan itu semasa perhimpunan pagi!

Kemudian, María Isabel meminta kebenaran untuk melawat semua bilik darjah. Setelah mendapat kebenaran daripada guru-guru di setiap kelas, dia bertanya sama ada terdapat murid Mapuche. “Saya sangka hanya ada 10 atau 15 pelajar Mapuche di sekolah,” katanya, “tetapi ada lebih banyak lagi. Saya dapat mengedarkan 150 surat jemputan!”

“DIA MENJANGKAKAN SESEORANG YANG LEBIH TUA”

Seorang wanita nampak surat jemputan yang dipaparkan dekat pintu utama lalu menginginkan maklumat lanjut. Dia sungguh terkejut apabila diperkenalkan kepada María Isabel yang umurnya hanya sepuluh tahun! “Dia menjangkakan seseorang yang lebih tua,” kata María Isabel sambil tersenyum. Selepas memberinya surat jemputan dan penjelasan yang ringkas, María Isabel meminta alamat wanita itu supaya dia dan ibu bapanya dapat berbincang lagi dengannya tentang Kerajaan Tuhan. Betapa gembiranya 20 penyiar yang menginjil dalam bahasa Mapudungun apabila wanita itu serta 26 orang Mapuche yang lain menghadiri sambutan Peringatan. Kumpulan itu sekarang sudah menjadi sebuah sidang yang sedang berkembang!

Tidak kira berapa umur anda, dapatkah anda menunjukkan usaha yang sama dan menjemput rakan sekolah atau rakan sekerja untuk menghadiri sambutan Peringatan, ceramah umum, atau konvensyen distrik? Carilah pengalaman dalam bahan bacaan kita. Anda mungkin menemui cadangan yang berguna untuk menjayakan rancangan anda. Jangan lupa berdoa untuk daya aktif Yehuwa supaya anda dapat memberikan kesaksian dengan berani. (Luk. 11:13) Jika anda berbuat demikian, usaha dan rancangan anda juga boleh membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan.