Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tuhan Menghormati dan Menjaga Maruah Wanita

Tuhan Menghormati dan Menjaga Maruah Wanita

SEMASA di bumi, Yesus menunjukkan sifat-sifat Bapanya dengan sempurna. Dia juga meniru cara Bapanya bertindak. Dia berkata, “Aku tidak melakukan apa-apa mengikut kehendakku sendiri. Sebaliknya, apa yang aku katakan semuanya diajar oleh Bapa . . . aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.” (Yohanes 8:28, 29; Kolose 1:15) Maka dengan menyelidiki sikap dan cara Yesus melayan wanita, kita dapat memahami peranan wanita dan pandangan Tuhan terhadap mereka.

Berdasarkan kisah Bible, kita tahu cara Yesus melayan wanita amat berbeza daripada orang pada zaman itu. Apakah buktinya? Bagaimanakah ajarannya mempengaruhi wanita zaman ini?

Cara Yesus Melayan Wanita

Yesus tidak memandang wanita sebagai objek seks. Menurut pemimpin agama Yahudi pada zaman itu, pergaulan dengan wanita hanya akan membangkitkan nafsu yang salah. Memandangkan wanita dianggap sebagai godaan, mereka tidak dibenarkan untuk bercakap kepada lelaki di tempat umum atau keluar tanpa memakai selubung. Sebaliknya, Yesus menggalakkan kaum lelaki untuk mengawal keinginan sendiri. Mereka harus menghormati wanita dan bukannya melarang mereka bergaul.​—Matius 5:28.

Yesus juga mengajar, “Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, dia berzina dan berlaku curang terhadap isterinya.” (Markus 10:11, 12) Maka, Yesus menolak ajaran para pemimpin agama Yahudi yang mengizinkan lelaki untuk menceraikan isteri “atas sebarang alasan.” (Matius 19:3, 9) Para pemimpin agama juga mengajar bahawa biarpun seorang lelaki Yahudi berlaku curang terhadap isterinya, itu bukan perbuatan zina. Sebaliknya, hanya wanita yang dapat dituduh tidak setia atau melakukan zina. Sebuah buku rujukan Bible menyatakan, “Kata-kata Yesus menunjukkan bahawa baik suami mahupun isteri perlu mengikut prinsip moral yang sama. Dengan demikian, Yesus mengangkat martabat wanita dan menghormati mereka.”

Kesan ajaran Yesus hari ini: Dalam sidang Saksi-Saksi Yehuwa, wanita dapat bergaul dengan lelaki tanpa risau bahawa perbuatan mereka akan dihakimi. Mereka juga tidak risau bahawa mereka akan dilayan dalam cara yang tidak sopan. Hal ini kerana saudara Kristian melayan ‘wanita yang tua seolah-olah dia ibu, dan wanita yang muda dengan hati yang murni, seolah-olah dia kakak atau adik.’​—1 Timotius 5:2.

Yesus meluangkan masa untuk mengajar wanita. Para pemimpin agama tidak mahu wanita mendapat pendidikan. Tetapi Yesus mengajar wanita dan menggalakkan mereka untuk meluahkan perasaan. Dengan mengajar Maria, Yesus menunjukkan bahawa tempat wanita bukan hanya di dapur. (Lukas 10:38-42) Marta juga banyak belajar daripada Yesus. Hal ini jelas dilihat daripada cara Marta menjawab soalan Yesus selepas kematian saudara kandungnya Lazarus.​—Yohanes 11:21-27.

Yesus berminat terhadap pandangan wanita dan ingin membantu mereka. Pada zamannya, banyak wanita Yahudi percaya bahawa mereka hanya akan bahagia jika mereka ada anak lelaki yang boleh dibanggakan. Maka, semasa seorang wanita berkata, “Berbahagialah wanita yang melahirkan dan menyusuimu,” Yesus menggunakan peluang itu untuk mengajarnya hal yang lebih penting. (Lukas 11:27, 28) Yesus menekankan bahawa selain memainkan peranan sebagai ibu dan isteri, wanita juga mempunyai peranan yang penting dalam hal-hal rohani.​—Yohanes 8:32.

Kesan ajaran Yesus hari ini: Di sidang Saksi-Saksi Yehuwa, para wanita dialu-alukan untuk memberikan komen semasa perjumpaan. Saudara-saudara menghormati wanita yang matang secara rohani kerana “mengajarkan apa yang baik” melalui teladan mereka, tidak kira semasa bersendirian atau di depan orang. (Titus 2:3) Kaum wanita juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan.​—Mazmur 68:11; lihat kotak “ Adakah Rasul Paulus Melarang Wanita untuk Bercakap?” di muka surat 9.

Yesus prihatin terhadap wanita. Pada zaman Bible, anak perempuan sering dianggap kurang bernilai berbanding anak lelaki. Kitab Talmud Yahudi bahkan kata, “Berbahagialah orang yang mempunyai anak lelaki. Terkutuklah dia yang mendapat anak perempuan.” Ada ibu bapa yang rasa anak perempuan ialah beban kerana mereka harus cari suami untuknya dan memberi mas kahwin. Lagipun, semasa mereka tua, mereka tidak dapat bergantung pada anak perempuan untuk menjaga mereka.

Dengan membangkitkan anak lelaki seorang balu dari Nain dan anak perempuan Yairus, Yesus menunjukkan bahawa nyawa anak perempuan sama penting dengan anak lelaki. (Markus 5:35, 41, 42; Lukas 7:11-15) Selepas menyembuhkan “seorang wanita yang sudah sakit selama 18 tahun,” Yesus memanggilnya “keturunan Abraham,” yang secara harfiah bermaksud “anak perempuan Abraham.” (Lukas 13:10-16) Dalam catatan Yahudi, istilah ini jarang digunakan. Sebenarnya, istilah ini menunjukkan hormat dan kasih sayang kerana Yesus menganggap wanita itu sebagai anggota masyarakat yang penting. Yesus juga menunjukkan dia menghargai iman wanita itu.​—Lukas 19:9; Galatia 3:7.

Kesan ajaran Yesus hari ini: Satu pepatah Asia mengatakan, “Membesarkan anak perempuan adalah seperti menyiram tanaman di kebun jiran.” Ketua keluarga Kristian pasti tidak mahu mempunyai pandangan sedemikian. Dia akan menjaga semua anaknya dengan baik, tidak kira lelaki atau perempuan. Dia juga akan pastikan mereka mendapat pendidikan dan rawatan kesihatan yang baik.

Yesus menunjukkan hormat kepada Maria Magdalena. Dia dipilih untuk melaporkan pembangkitan Yesus kepada para rasul

Yesus mempercayai wanita. Dalam mahkamah Yahudi, keterangan yang diberikan oleh wanita adalah sama seperti keterangan yang diberikan seorang hamba. Josephus, sejarawan pada abad pertama, berkata, “Jangan terima keterangan daripada kaum wanita kerana mereka tidak boleh dipercayai.”

Pandangan Yesus terhadap wanita sangat berbeza daripada orang sezaman dengannya. Selepas Yesus dibangkitkan, dia telah memilih para wanita untuk melaporkan kejadian itu. (Matius 28:1, 8-10) Yesus mempercayai para wanita tetapi para rasul tidak, walaupun wanita-wanita itu telah menyaksikan Yesus dihukum mati dan dikuburkan. (Matius 27:55, 56, 61; Lukas 24:10, 11) Dengan menampakkan diri kepada para wanita, Yesus menunjukkan bahawa mereka layak diamanahkan tugas untuk memberi kesaksian.​—Kisah 1:8, 14.

Kesan ajaran Yesus hari ini: Di sidang Saksi-Saksi Yehuwa, para saudara yang memikul tanggungjawab mengambil kira pandangan dan perasaan wanita. Suami Kristian juga menunjukkan hormat kepada isteri dengan mendengarkan luahan mereka.​—1 Petrus 3:7; Kejadian 21:12.

Prinsip Bible Membuat Wanita Lebih Bahagia

Orang yang mengikut prinsip Bible akan menghormati dan menjaga maruah wanita

Para lelaki yang meniru teladan Yesus akan menghormati wanita. Hasilnya, para wanita dapat menikmati kebebasan seperti yang dikehendaki Tuhan. (Kejadian 1:27, 28) Para suami Kristian tidak patut berfikir bahawa mereka lebih baik daripada isteri. Sebaliknya, jika mereka menerapkan prinsip Bible, hal ini akan menyumbang kepada kehidupan keluarga yang lebih bahagia.​—Efesus 5:28, 29.

Perhatikan contoh ini: Suami Yelena dibesarkan di persekitaran yang kurang baik. Orang di sekelilingnya ganas, dan perbuatan menculik gadis dan penderaan fizikal ialah sesuatu yang berleluasa. Maka, Yelena dilayan dengan buruk oleh suaminya. Selepas belajar Bible, Yelena kata, “Ajaran Bible memberi saya kekuatan.” Dia menyambung, “Saya sedar ada orang yang benar-benar mengasihi, menghargai, dan peduli terhadap saya. Saya tahu jika suami saya belajar Bible, dia pun akan berubah dan menjadi lebih baik.” Yelena sangat gembira kerana suaminya bersetuju untuk belajar Bible. Kemudian, dia dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. “Suami saya kini penyabar dan pandai mengawal diri,” kata Yelena. “Kami juga belajar untuk memaafkan satu sama lain.” Yelena menyimpulkan, “Prinsip Bible membantu saya ada keluarga yang lebih bahagia. Saya rasa selamat dan dilindungi.”​—Kolose 3:13, 18, 19.

Sebenarnya, jutaan wanita Kristian juga ada pengalaman yang sama seperti Yelena. Selepas suami isteri mempelajari dan menerapkan nasihat Bible, perkahwinan mereka menjadi lebih bahagia. Selain itu, pergaulan Kristian juga membantu mereka rasa dikasihi dan dihormati.​—Yohanes 13:34, 35.

Lelaki dan wanita Kristian tahu bahawa mereka tidak sempurna. Mereka sebahagian daripada ciptaan Tuhan yang kini “menjalani kehidupan yang sia-sia.” Namun, dengan menghampiri Bapa dan Tuhan mereka yang pengasih, mereka “dapat dibebaskan daripada menjadi hamba tubuh yang boleh musnah lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.” Alangkah besarnya penghormatan yang diberikan kepada lelaki dan wanita di bawah jagaan Tuhan!​—Roma 8:20, 21.