Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Bible Memberikan Gambaran yang Tepat mengenai Pembuangan Orang Yahudi ke Babilon?

Adakah Bible Memberikan Gambaran yang Tepat mengenai Pembuangan Orang Yahudi ke Babilon?

 Kira-kira 2,600 tahun dahulu, orang Yahudi ditawan dan menjadi orang buangan di Babilon selama 70 tahun. Menurut Bible, Tuhan telah menubuatkan keadaan hidup mereka yang tinggal di Babilon sebagai tawanan, “Binalah rumah dan tinggallah di dalamnya. Buatlah kebun dan nikmatilah hasilnya. Berkahwinlah dan lahirkanlah anak-anak. . . . Berusahalah untuk hidup dengan aman di kota itu, iaitu tempat kamu tinggal sebagai tawanan.” (Yeremia 29:1, 4-7) Adakah orang Yahudi benar-benar hidup dalam keadaan sedemikian?

 Para penyelidik telah meneliti lebih daripada 100 kepingan batu bersurat tanah liat yang berasal dari Babilon kuno atau sekitarnya. Kepingan batu-batu bersurat tersebut menunjukkan bahawa banyak orang Yahudi yang ditawan terus mengikuti adat budaya dan agama mereka sendiri, sementara mereka tunduk di bawah pemerintahan Babilon. Kepingan batu-batu bersurat yang bertarikh dari 572 hingga 477 SM ini mengandungi perjanjian penyewaan, perusahaan perniagaan, nota janji hutang, dan rekod kewangan yang lain. Menurut sebuah karya rujukan, “Dokumen-dokumen ini telah memberikan kita sedikit gambaran tentang kehidupan orang biasa yang tinggal di desa. Mereka membajak tanah, membina rumah, membayar cukai, dan berkhidmat kepada raja.”

Batu bersurat dari Al-Yahudu

 Koleksi dokumen yang penting ini juga membuktikan bahawa komuniti orang Yahudi yang agak besar pernah wujud di Al Yahudu, atau Judahtown. Nama-nama Yahudi yang diukir pada batu bersurat itu meliputi empat generasi, dan sesetengah nama itu diukir dalam huruf Ibrani kuno. Sebelum batu-batu bersurat itu dijumpai, para cendekiawan hanya mempunyai pengetahuan yang sedikit tentang kehidupan orang Yahudi yang tinggal sebagai tawanan di Babilon. Dr. Filip Vukosavović, seorang ahli lembaga pengarah di Pihak Berkuasa Antikuiti Israel, berkata, “Akhirnya kita dapat berjumpa dengan orang Yahudi yang ditawan melalui batu-batu bersurat ini. Kita dapat tahu nama mereka, tempat tinggal mereka, zaman mereka hidup, dan apa yang mereka lakukan.”

Para tawanan berbangsa Yahudi hidup bebas di Babilon

 Tidak seperti hidup seorang hamba abdi atau banduan, para tawanan berbangsa Yahudi bebas bergerak ke mana sahaja. Menurut Vukosavović, tempat tinggal mereka “bukan sahaja di kota Al-Yahudu, malah juga di merata kota lain.” Sebilangan daripada mereka menjadi mahir dalam pelbagai bidang, dan kemudian kemahiran tersebut digunakan untuk membina semula Yerusalem. (Nehemia 3:8, 31, 32) Batu-batu bersurat Al-Yahudu juga membuktikan bahawa banyak orang Yahudi memilih untuk menetap di Babilon walaupun mereka tidak lagi ditawan. Hal ini menunjukkan bahawa hidup mereka di Babilon aman damai, seperti yang disebut dalam Firman Tuhan.