Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kekhuatiran Kaum Lelaki​—Bagaimana Bible Dapat Membantu

Kekhuatiran Kaum Lelaki​—Bagaimana Bible Dapat Membantu

 Apabila anda memikirkan keadaan seseorang yang sedang mengalami kekhuatiran, a anda mungkin membayangkan seseorang yang begitu takut sehingga tidak mampu melakukan apa-apa, seseorang yang berasa susah untuk bangun pada waktu pagi kerana dibebani kekhuatiran, atau seseorang yang asyik bercakap tentang semua kerisauannya.

 Sesetengah orang memang menunjukkan kekhuatiran mereka dalam cara sedemikian. Namun, para penyelidik mendapati bahawa orang lain, terutamanya kaum lelaki, menunjukkan kekhuatiran mereka dalam cara yang lain. Menurut sebuah laporan, kaum lelaki “lebih cenderung menggunakan alkohol, ubat, atau dadah untuk menangani kekhuatiran. Jadi, orang yang nampaknya kuat minum mungkin sebenarnya menghadapi kekhuatiran yang serius. Kaum lelaki juga sering menunjukkan kekhuatiran melalui perasaan marah dan geram.”

 Sudah tentu, bukan semua lelaki menunjukkan kekhuatiran dalam cara yang sama. Walaupun reaksi setiap orang berbeza, semakin banyak orang mengalami kekhuatiran pada “masa genting yang sukar dihadapi” ini. (2 Timotius 3:1) Jika anda sedang mengalami kekhuatiran, bagaimanakah Bible dapat membantu anda?

Nasihat Bible tentang Menangani Kekhuatiran

 Bible mengandungi banyak nasihat yang dapat dipercayai untuk membantu kita menangani kekhuatiran. Fikirkan tiga contoh berikut.

  1.  1. “Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri. Cukuplah masalah untuk hari ini.”—Matius 6:34.

     Maksud: Kita tidak patut terlalu khuatir tentang hal yang mungkin akan berlaku atau yang mungkin tidak akan berlaku pada masa depan. Sering kali, apa yang berlaku tidak seteruk yang kita sangka. Ada kalanya, situasi kita bahkan menjadi lebih baik.

     Cadangan: Cuba fikirkan, pernahkah anda berasa bahawa suatu hal yang buruk akan berlaku, tetapi akhirnya hal itu tidak berlaku? Kemudian, fikirkan kerisauan yang sedang anda hadapi. Adakah masalah anda betul-betul akan menjadi masalah besar?

  2.  2. “Sebagaimana besi diasah oleh besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.”—Amsal 27:17.

     Maksud: Orang lain dapat membantu kita menangani kekhuatiran kita jika kita sudi menerima bantuan mereka. Mereka mungkin boleh memberi kita cadangan yang praktikal berdasarkan pengalaman hidup mereka atau membantu kita melihat situasi kita dari sudut pandangan lain.

     Cadangan: Fikirkan orang yang dapat memberikan nasihat yang baik, misalnya seorang kawan yang pernah menghadapi masalah yang serupa. Tanyalah dia apa yang telah membantunya menangani masalah tersebut.

  3.  3. “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

     Maksud: Tuhan amat mengambil berat terhadap orang yang menderita. Dia menjemput kita untuk berdoa kepada-Nya tentang kekhuatiran yang membebani kita.

     Cadangan: Senaraikanlah perkara-perkara yang membuat anda berasa khuatir. Kemudian, berdoalah kepada Tuhan, beritahulah Dia setiap masalah anda, dan mintalah bantuan-Nya untuk menangani setiap masalah tersebut.

Kekhuatiran Akan Dilenyapkan

 Bible bukan sahaja mengandungi nasihat tentang cara untuk menangani kekhuatiran. Bible juga berjanji bahawa tidak lama lagi kerisauan yang kita ada sekarang akan dilenyapkan untuk selama-lamanya. Bagaimanakah hal itu akan berlaku?

 Kerajaan Tuhan akan melenyapkan hal-hal yang membuat kita khuatir. (Wahyu 21:4) Di bawah pemerintahan Kerajaan Tuhan, bahkan kenangan pahit yang disebabkan kekhuatiran dan tekanan akan dilupakan.—Yesaya 65:17.

 Inilah masa depan yang dijanjikan “Tuhan yang memberikan kedamaian.” (Roma 16:20) Dia meyakinkan kita dengan berkata, “Aku sendiri tahu apa yang akan Aku lakukan untuk kamu, . . . Aku akan memberi kamu kedamaian, bukannya malapetaka. Ya, Aku akan memberi kamu harapan dan masa depan yang baik.”—Yeremia 29:11.

a Dalam rencana ini, istilah “kekhuatiran” tidak merujuk kepada suatu masalah kesihatan, tetapi merujuk kepada kerisauan atau tekanan hidup yang membebani seseorang. Orang yang menghadapi kekhuatiran yang merupakan masalah kesihatan serius boleh memilih untuk mendapatkan bantuan perubatan.—Lukas 5:31.