Lompat ke kandungan

Rak Mudah Alih “Melawat Tempat Peranginan” di Jerman

Rak Mudah Alih “Melawat Tempat Peranginan” di Jerman

Pejalan kaki di bandar-bandar besar di serata dunia biasa melihat rak bahan bacaan Bible yang didirikan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Contohnya, para Saksi di Jerman mempunyai rak bahan bacaan di Berlin, Cologne, Hamburg, Munich, dan bandar yang lain.

Namun, adakah rak-rak sebegini juga menjadi tumpuan orang di pekan kecil yang menjadi destinasi percutian orang Jerman? Adakah rak itu akan mendapat sambutan baik di pekan peranginan dan kawasan pantai di sebelah utara? Bagaimana pula dengan pulau-pulau di Laut Utara dan Laut Baltik? Pada tahun 2016, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa di Eropah Tengah mengaturkan satu kempen istimewa untuk mencari jawapannya. Dari bulan Mei hingga Oktober, kira-kira 800 orang Saksi yang menggunakan rak bahan bacaan di kawasan bandar raya, termasuk Saksi dari Vienna, Austria, telah mendirikan rak bahan bacaan di kira-kira 60 lokasi di bahagian utara Jerman.

“Sebahagian daripada Penduduk di Pekan”

Saksi-Saksi disambut dengan mesra. Seorang pekerja sukarela Saksi berkata, “Ramai orang berminat. Mereka ramah, ingin tahu lebih banyak, dan sudi berbual.” Heidi, yang membantu di pekan Plön, berkata, “Beberapa hari kemudian, penduduk di situ memandang kami sebagai sebahagian daripada penduduk di pekan mereka. Ada yang melambai-lambai kepada kami semasa nampak kami.” Seorang lelaki yang pekak memberitahu mereka melalui bahasa isyarat, “Kamu di mana-mana sahaja!” Rupa-rupanya dia dan sahabatnya baru sahaja pulang dari pertemuan orang pekak di tenggara Jerman, dan dia pun bertemu dengan Saksi-Saksi Yehuwa di situ.

Sesetengah penduduk tempatan juga memberikan sokongan. Di pulau Wangerooge, seorang polis memberi Saksi-Saksi Yehuwa cadangan tentang cara untuk menjumpai lebih banyak orang. Di Waren an der Müritz, semasa memperkenalkan tempat-tempat menarik kepada para penumpangnya, kapten sebuah bot pelancongan menunjuk ke arah rak bahan bacaan Saksi di pelabuhan dan berkata, “Di situ kamu dapat belajar tentang Tuhan.” Sebilangan pelancong telah datang ke rak itu dan membaca poster-poster yang dipaparkan.

Para pelancong dan orang tempatan berminat terhadap tiga brosur berikut:

  • Adakah Tuhan Mengambil Berat? (Does God Really Care About Us?) Seorang pelancong berkata, “Sudah lama saya tanya soalan itu. Kini semasa melancong, barulah saya dapat membaca tentangnya.”

  • Berita Baik daripada Tuhan! Seorang lelaki tua memberitahu para Saksi bahawa dia kecewa dengan agama. Para Saksi membantu dia untuk memahami bahawa umat manusia tidak dapat menyelesaikan masalah manusia, tetapi hanya Tuhan yang dapat berbuat demikian. Lelaki itu menerima brosur itu dengan senang hati dan berjanji untuk membacanya.

  • Adik Belajar Bible. Seorang bapa membenarkan anak perempuannya yang masih kecil untuk mengambil brosur itu, iaitu brosur yang direka khas untuk kanak-kanak. Bapa itu juga mengambil Buku Cerita Bible Saya dan berkata, “Buku ini bagus untuk keluarga saya.”

Para pejalan kaki telah mengambil lebih daripada 3,600 bahan bacaan. Beberapa orang juga meminta Saksi untuk mengunjungi mereka dan meneruskan perbincangan Bible.

Para Saksi yang menyertai kempen ini sangat menikmati pengalaman yang diperoleh. Jörg dan isterinya, Marina, yang pergi ke kawasan berdekatan Laut Baltik berkata, “Ini pemberian yang istimewa. Kami menikmati ciptaan Tuhan dan pada masa yang sama kami dapat memberitahu orang lain tentang-Nya.” Lukas, yang berumur 17 tahun berkata, “Saya sangat menyukainya! Saya bukan sahaja dapat berseronok, tetapi saya dapat memberi orang lain sesuatu yang sangat bernilai.”