Lompat ke kandungan

Joseph Diiringi oleh Seorang Polis

Joseph Diiringi oleh Seorang Polis

 Jika anda ialah salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, bayangkan anda sedang menginjil dari rumah ke rumah sambil diiringi oleh seorang polis. Itulah pengalaman Joseph di Micronesia pada tahun 2017. Dia dan tiga orang Saksi yang lain menyertai suatu kempen istimewa untuk menginjil kepada orang di pulau-pulau terpencil.

 Sekitar waktu tengah hari, empat orang Saksi itu tiba di sebuah atol atau pulau yang berbentuk cincin, di sana terdapat kira-kira 600 orang penduduk. Kedatangan mereka disambut oleh mayor pulau itu yang menunggu mereka di tepi pantai. Joseph menjelaskan apa yang terjadi selepas itu: “Mayor memberitahu kami bahawa sebuah kenderaan polis boleh membawa kami ke semua rumah di sana. Kami terkejut mendengar kata-katanya, tetapi kami menolak tawaran itu dengan hormat. Kami ingin melawat orang dengan cara yang biasa digunakan, iaitu menginjil dari rumah ke rumah.”

 Mereka pun mula berjalan dan berusaha untuk menginjil kepada sebanyak orang yang mungkin. “Orang di sana suka menyambut tetamu dan berminat terhadap mesej yang kami kongsi. Kami tidak sangka kami dapat meluangkan begitu banyak masa di setiap rumah,” kata Saksi-Saksi itu.

 Beberapa waktu kemudian, lori polis yang sudah melalui Joseph buat kali kedua berhenti pada kali ketiga. Polis-polis itu tanya Joseph jika mereka boleh membawanya untuk pergi ke rumah lain yang belum dikunjungi. Joseph berkata, “Tidak perlu. Tetapi kali ini mereka berkeras lalu berkata, ‘Kamu tidak mempunyai banyak masa untuk pergi ke rumah-rumah yang lain.’ Saya tidak dapat lagi menolak tawarannya kerana masih ada banyak rumah yang belum dikunjungi. Setiap kali kami menghampiri sebuah rumah, polis-polis itu akan memberitahu saya nama keluarga tersebut. Jika tiada orang keluar selepas saya ketuk, mereka akan membunyikan hon untuk memanggil penghuni rumah.

 “Dengan bantuan mereka, kami dapat melawat semua rumah pada hari itu. Kami juga menawarkan banyak bahan bacaan dan membuat aturan untuk mengunjungi semula mereka yang menunjukkan minat.”

 Polis-polis itu memberitahu Joseph bahawa mereka “sangat menikmati kerja menyebarkan berita baik.” Semasa matahari terbenam, para Saksi pun meninggalkan pulau itu. Polis-polis yang melihat mereka pulang melambai-lambaikan tangan sambil tersenyum dan memegang bahan bacaan Bible.