Lompat ke kandungan

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mengubah Bible Mengikut Kepercayaan Mereka?

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Mengubah Bible Mengikut Kepercayaan Mereka?

 Tidak, kami tidak berbuat demikian. Sebaliknya, apabila kami mendapati bahawa kepercayaan kami tidak selaras dengan Bible, kami membuat penyesuaian pada kepercayaan kami.

 Kami mula menerbitkan Bible New World Translation of the Holy Scriptures pada 1950. Namun lama sebelum itu, kami sudah membuat penyelidikan Bible. Kami menggunakan pelbagai terjemahan yang tersedia dan membentuk kepercayaan berdasarkannya. Fikirkan beberapa ajaran yang menjadi pegangan Saksi-Saksi Yehuwa, dan lihatlah sendiri sama ada kepercayaan ini selaras dengan Bible.

  1.   Kepercayaan kami: Tuhan bukan Tritunggal. Majalah Zion’s Watch Tower terbitan Julai 1882 menyatakan, “Pembaca kami menyedari bahawa kami percaya pada Yehuwa, Yesus, dan roh kudus. Namun, kami menolak sama sekali ajaran bahawa mereka ialah tiga Tuhan yang membentuk satu individu, atau satu Tuhan yang terdiri daripada tiga individu. Ini bukanlah ajaran Bible.”

      Ajaran Bible: “Yehuwa Tuhan kita ialah satu Yehuwa.” (Ulangan 6:4, The Holy Bible, Robert Young) “Terdapat satu Tuhan, iaitu Bapa, yang menciptakan segala sesuatu, dan kerana Dialah kita hidup; dan satu Tuan Yesus Kristus, melalui dialah segala sesuatu diciptakan, dan kerana dialah kita hidup.” (1 Korintus 8:6, American Bible Union Version) Yesus sendiri mengatakan, “Bapa lebih besar daripada aku.”​—Yohanes 14:28, Douay-Rheims Version.

  2.   Kepercayaan kami: Seksaan selama-lamanya di api neraka tidak wujud. Rencana “Upah Dosa Ialah Kematian,” dalam Majalah Zion’s Watch Tower terbitan Jun 1882 adalah berdasarkan ayat Roma 6:23 terjemahan Bible King James Version. Majalah ini menyatakan, “Ayat ini amat jelas dan mudah difahami. Adalah tidak masuk akal apabila ramai orang yang mengakui Bible sebagai Firman Tuhan menyangkal pernyataan yang penting ini, dan menegaskan bahawa Bible mengajarkan upah dosa ialah seksaan selama-lamanya.”

      Ajaran Bible: “Jiwa yang berdosa akan mati.” (Yehezkiel 18:​4, 20, King James Version) Hukuman terakhir bagi orang yang menentang Tuhan ialah “hukuman kebinasaan selama-lamanya,” dan bukannya seksaan selama-lamanya.​—2 Tesalonika 1:9, King James Version.

  3.   Kepercayaan kami: Kerajaan Tuhan ialah Kerajaan yang nyata, bukannya sesuatu yang wujud dalam hati. Mengenai Kerajaan Tuhan, majalah Zion’s Watch Tower terbitan Disember 1881 menyatakan, “Penubuhan kerajaan ini sudah tentu akan menggulingkan semua kerajaan dunia.”

      Ajaran Bible: “Pada masa pemerintahan penguasa-penguasa ini, Tuhan di syurga akan mendirikan sebuah kerajaan yang tidak dapat dimusnahkan, dan kerajaan itu tidak akan dikuasai oleh orang lain. Sebaliknya kerajaan itu akan memusnahkan sama sekali semua kerajaan ini, lalu kerajaan itu akan memerintah selama-lamanya.”​—Daniel 2:44, King James Version.

Adakah Saksi-Saksi Yehuwa bergantung pada Bible New World Translation of the Holy Scriptures untuk menyokong kepercayaan mereka?

 Tidak, kami sentiasa menggunakan pelbagai terjemahan Bible semasa menginjil. Kami menawarkan Bible New World Translation of the Holy Scriptures tanpa bayaran sebagai sebahagian daripada program pembelajaran Bible secara percuma. Walaupun demikian, kami juga gembira untuk mengajar orang yang lebih suka menggunakan terjemahan Bible yang lain.