Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Filipi 4:6, 7​—“Janganlah Khuatir akan Apa Pun”

Filipi 4:6, 7​—“Janganlah Khuatir akan Apa Pun”

 “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu melalui Kristus Yesus.”—Filipi 4:6, 7, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Tuhan apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Tuhan, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Tuhan yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.’—Filipi 4:6, 7, Alkitab Berita Baik.

Maksud Filipi 4:6, 7

 Para penyembah Tuhan dapat mengurangkan kekhuatiran mereka dengan berdoa kepada-Nya. Dia berjanji untuk memberi mereka ketenangan batin, yang dapat membantu mereka menangani kekhuatiran serta menjaga fikiran dan emosi mereka. Ayat 6 menyebutkan jenis doa yang boleh diucapkan untuk mendapat ketenangan sedemikian.

 Permohonan ialah doa untuk meminta sesuatu daripada Tuhan. Para penyembah-Nya dapat menyatakan permohonan “dalam segala hal.” Namun, doa sedemikian mestilah selaras dengan kehendak Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—1 Yohanes 5:14.

 Rayuan ialah doa yang diucapkan dengan tulus untuk mendapatkan bantuan Tuhan. Seperti Yesus, seseorang mungkin merayu kepada Tuhan semasa tertekan atau dalam bahaya. (Ibrani 5:7) Doa rayuan biasanya diucapkan berulang kali.

 Ucapan syukur ialah doa kepada Tuhan untuk meluahkan penghargaan kita terhadap apa yang telah dan akan dilakukan-Nya bagi kita. Apabila kita bertumpu kepada sebabnya kita berterima kasih kepada Tuhan, kita dibantu untuk tetap bahagia.—1 Tesalonika 5:16-18.

 Tuhan menjawab doa sedemikian dengan memberikan ketenangan. “Kesejahteraan daripada Tuhan” merujuk kepada ketenteraman yang kita nikmati kerana kita mempunyai hubungan yang akrab dengan Tuhan. (Roma 15:13; Filipi 4:9) Kesejahteraan ini “jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia” kerana kesejahteraan ini berasal daripada Tuhan dan dapat membantu kita dalam cara yang tidak disangka.

 Ayat Bible ini berkata bahawa kesejahteraan daripada Tuhan dapat menjaga hati kita. Dalam bahasa Yunani, perkataan yang diterjemahkan sebagai “menjaga” merupakan istilah tentera, yang merujuk kepada pasukan askar yang menjaga kota berkubu. Begitu juga, kesejahteraan daripada Tuhan melindungi seseorang secara emosi dan mental dan membantunya agar tidak terlalu khuatir semasa menghadapi masalah.

 Kesejahteraan daripada Tuhan melindungi kita “melalui Kristus Yesus” kerana melalui Yesus, kita boleh mempunyai hubungan dengan Tuhan. Yesus mengorbankan nyawanya untuk menebus dosa kita. Jika kita beriman kepadanya, kita boleh menikmati berkat Tuhan. (Ibrani 11:6) Kita hanya dapat menghampiri Tuhan melalui Yesus. Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.”—Yohanes 14:6; 16:23.

Konteks Filipi 4:6, 7

 Buku Filipi ialah surat yang ditulis Rasul Paulus kepada orang Kristian di kota Filipi. a Dalam suratnya di Filipi bab 4, Paulus menggalakkan mereka untuk tetap bersukacita. Dia juga berterima kasih atas kemurahan hati mereka, yang membuatnya bersukacita. (Filipi 4:4, 10, 18) Dia menunjukkan bahawa dengan berdoa, kita dapat menerima kesejahteraan daripada Tuhan. Dia juga menyatakan apa yang perlu kita fikirkan dan lakukan agar dapat menerima bantuan daripada “Tuhan kedamaian.”—Filipi 4:8, 9.

a Terletak di negara Greece sekarang.