Lompat ke kandungan

Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Agama yang Benar?

Bagaimanakah Saya Dapat Mencari Agama yang Benar?

Jawapan Bible

 Bagaimanakah kita dapat membezakan orang yang mengamalkan agama yang benar daripada yang palsu? Bible menyatakan bahawa “Kamu akan mengenal mereka melalui perbuatan mereka. Tumbuhan berduri tidak akan menghasilkan buah anggur atau buah ara, bukan?” (Matius 7:16) Sebagaimana anda dapat membezakan pokok anggur daripada tumbuhan berduri melalui buahnya, anda juga dapat membezakan agama benar daripada agama palsu melalui buahnya, atau ciri-ciri pengenal yang berikut:

  1.   Agama benar mengajar kebenaran yang berdasarkan Bible, dan bukannya ajaran manusia. (Yohanes 4:24; 17:17) Contohnya, kebenaran tentang keadaan orang mati dan harapan kehidupan kekal di bumi firdaus. (Mazmur 37:29; Yesaya 35:5, 6; Yehezkiel 18:4) Agama benar juga akan berani mendedahkan ajaran palsu.—Matius 15:9; 23:27, 28.

  2.   Agama benar membantu orang mengenali Tuhan, termasuk mengajar mereka tentang nama-Nya, iaitu Yehuwa. (Mazmur 83:18; Yesaya 42:8; Yohanes 17:3, 6) Agama benar tidak mengajar bahawa Tuhan ialah misteri atau tidak dapat dihampiri, tetapi mengajar bahawa Tuhan ingin kita menjadi sahabat-Nya.—Yakobus 4:8.

  3.   Agama benar mengajar bahawa kita mendapat penyelamatan daripada Tuhan hanya melalui Yesus Kristus. (Kisah 4:10, 12) Pengikut Yesus akan mentaati perintahnya dan berusaha mengikut teladannya.—Yohanes 13:15; 15:14.

  4.   Agama benar mengajar bahawa Kerajaan Tuhan ialah satu-satunya harapan bagi manusia. Penganutnya akan memberitahu orang lain tentang Kerajaan Tuhan.—Matius 10:7; 24:14.

  5.   Agama benar menunjukkan kasih yang tidak mementingkan diri. (Yohanes 13:35) Agama benar mengajar orang untuk menghormati semua kaum dan untuk bergaul mesra dengan orang daripada pelbagai bangsa, bahasa, budaya, dan latar belakang. (Kisah 10:34, 35) Penganutnya tidak melibatkan diri dalam peperangan kerana mereka mengasihi satu sama lain.—Mikha 4:3; 1 Yohanes 3:11, 12.

  6.   Agama benar tidak ada pemimpin gereja yang bergaji dan tidak memberikan apa-apa gelaran yang mengagungkan diri sendiri.—Matius 23:8-12; 1 Petrus 5:2, 3.

  7.   Agama benar sama sekali tidak melibatkan diri dalam hal ehwal politik. (Yohanes 17:16; 18:36) Namun begitu, penganutnya menghormati dan mentaati kerajaan, selaras dengan perintah Bible yang menyatakan, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar [mewakili kerajaan atau kekuasaan sivil], tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”—Markus 12:17; Roma 13:1, 2.

  8.   Agama benar merupakan cara hidup dan bukannya sekadar mengikut upacara keagamaan atau menjalankan kewajipan. Penganutnya mengikut piawaian moral Bible yang luhur dalam semua aspek kehidupan. (Efesus 5:3-5; 1 Yohanes 3:18) Mereka tidak beribadat dalam suasana yang muram tetapi bersukacita kerana menyembah “Tuhan yang gembira.”—1 Timotius 1:11.

  9.   Mereka yang mengamalkan agama benar hanyalah terdiri daripada golongan yang kecil. (Matius 7:13, 14) Penganut agama benar sering kali dipandang rendah, dicemuh, dan ditentang kerana melakukan kehendak Tuhan.—Matius 5:10-12.

Janganlah menentukan betul salahnya suatu agama menurut perasaan sendiri

 Memang bahaya jika kita memilih agama berdasarkan perasaan kita. Bible sudah menyatakan bahawa akan tiba masanya orang “mengumpulkan guru-guru [agama] yang akan menggeletek telinga mereka.” (2 Timotius 4:3) Sebaliknya, Bible menggalakkan kita untuk mengikut ‘agama yang murni dan suci di mata Tuhan, Bapa kita,’ walaupun agama itu tidak popular.—Yakobus 1:27, nota kaki; Yohanes 15:18, 19.