Lompat ke kandungan

Di Manakah Saya Dapat Menemui Harapan?

Di Manakah Saya Dapat Menemui Harapan?

Jawapan Bible

 Bible berkata bahawa Tuhan ingin memberi kita “harapan a dan masa depan.” (Yeremia 29:11) Sememangnya, salah satu sebab Tuhan memberi kita Bible adalah “supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita.” (Roma 15:4) Nasihat Bible yang bijak dapat membantu kita memiliki pandangan yang positif untuk menghadapi cabaran setiap hari. Janji-janji Bible pula memberi kita harapan masa depan yang indah.

Dalam rencana ini

 Bagaimanakah Bible membantu kita memiliki pandangan yang positif?

 Dengan memberitahu kita langkah-langkah yang praktikal untuk meningkatkan mutu hidup kita, Bible dapat membantu kita untuk memiliki pandangan yang positif. Fikirkan contoh-contoh berikut.

  •   Carilah bimbingan yang praktikal daripada Bible. Mazmur 119:105 menyatakan, “Firman-Mu bagaikan pelita yang membimbing langkahku, dan bagaikan cahaya yang menerangi jalanku.” Cahaya yang sangat terang dapat melakukan dua perkara, iaitu membantu kita melihat apa yang ada di depan kita dan juga menerangi jalan yang lebih jauh di hadapan kita. Begitu juga, nasihat Bible dapat membantu kita menangani masalah yang kita hadapi sekarang dan memiliki pandangan yang positif setiap hari. Ajaran Bible dapat memulihkan kekuatan kita dan “menggembirakan hati” kita. (Mazmur 19:7, 8) Pada masa yang sama, Bible dapat membantu kita melihat tujuan Tuhan bagi manusia dan bumi pada masa depan. Harapan ini dapat memberi kita sukacita dan kepuasan yang berkekalan.

  •   Biarlah orang lain membantu anda. Apabila kita berada dalam situasi yang nampaknya tiada harapan, kita mungkin ingin menyisihkan diri daripada keluarga atau kawan-kawan. Bible memberitahu kita bahawa tindakan sebegitu tidak bijak, kerana hal itu boleh mengakibatkan kita membuat keputusan yang kurang bijak atau bertindak dengan bodoh. (Amsal 18:1) Orang yang kita kasihi dapat membantu kita tetap bersikap munasabah. Mereka juga mungkin mempunyai nasihat yang berguna tentang cara menangani situasi yang susah. (Amsal 11:14) Selain itu, mereka dapat melegakan dan menghiburkan hati kita. Dengan itu, kita akan mendapat kekuatan untuk bertabah sehinggalah situasi kita menjadi lebih baik.—Amsal 12:25.

  •   Berdoalah kepada Tuhan. Bible berkata, “Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu. Dia tidak sekali-kali membiarkan orang yang baik jatuh.” b (Mazmur 55:22) Yehuwa dipanggil sebagai “Tuhan yang memberi kamu harapan.” (Roma 15:13) Jadi, anda dapat berdoa dengan yakin bahawa Dia mengambil berat tentang anda dan dapat memberitahu-Nya “segala kekhuatiran” anda. (1 Petrus 5:7) Bible berkata, “Dia akan meneguhkan kamu, Dia akan menguatkan kamu, dan Dia akan mengukuhkan kamu.”—1 Petrus 5:10.

  •   Biarlah cabaran mengukuhkan harapan anda. Bible berjanji, “Orang yang mendengarkan [Tuhan] akan hidup sejahtera. Mereka tidak perlu takut akan malapetaka.” (Amsal 1:33) Apabila rumahnya musnah akibat ribut siklon, seorang wanita di Australia yang bernama Margaret telah kehilangan banyak harta miliknya. Namun, dia tidak berasa putus asa. Sebaliknya, dia telah belajar satu pengajaran yang penting, iaitu harta benda hanyalah bersifat sementara. Sejak itu, dia lebih bertekad untuk bertumpu pada perkara yang benar-benar penting, iaitu keluarga dan kawan-kawannya, hubungannya dengan Tuhan, dan harapan yang dijanjikan Bible.—Mazmur 37:34; Yakobus 4:8.

 Apakah harapan Bible bagi semua orang?

 Bible menjanjikan masa depan yang cerah bagi manusia dan bumi. Hal ini akan berlaku tidak lama lagi. Masalah yang kita hadapi dewasa ini menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada “hari-hari terakhir” dunia ini. (2 Timotius 3:1-5) Tidak lama lagi, Tuhan akan menguasai bumi dan menghapuskan semua ketidakadilan dan penderitaan. Dia akan melakukannya menerusi sebuah pemerintahan yang dipanggil Kerajaan Tuhan. (Daniel 2:44; Wahyu 11:15) Yesus merujuk kepada kerajaan ini yang terletak di syurga semasa mengucapkan doa ini: “Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi.”—Matius 6:9, 10.

 Kehendak Tuhan jelas dinyatakan dalam Bible. Perhatikan beberapa masalah yang akan dilenyapkan oleh Kerajaan Tuhan:

  •   Kelaparan. “Bumi akan mengeluarkan hasilnya.”—Mazmur 67:6.

  •   Penyakit. “Tiada sesiapa pun di negeri itu yang akan berkata, ‘Aku sakit.’”—Yesaya 33:24.

  •   Kematian. Tuhan akan “menyapu semua air mata [manusia], dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”—Wahyu 21:3, 4.

a Kita mengharapkan sesuatu apabila kita menginginkan sesuatu dan percaya bahawa kita akan mendapatnya. Harapan juga boleh menjadi sesuatu yang kita nanti-nantikan atau benda yang diharapkan.

b Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.—Mazmur 83:18.