Lompat ke kandungan

Saudara Hye-min Kim dan isterinya Ha-bin di luar Mahkamah Daerah Gwangju

7 DISEMBER 2022
KOREA SELATAN

Perbicaraan Kes mengenai Khidmat Awam Alternatif Korea Selatan

Perbicaraan Kes mengenai Khidmat Awam Alternatif Korea Selatan

Pada 8 Disember 2022, Mahkamah Daerah Gwangju di Korea Selatan telah mengadakan perbicaraan bagi kes Saudara Hye-min Kim. Hye-min ialah calon pertama yang tidak menerima khidmat awam alternatif (ACS) setelah menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Hal ini kerana program ACS ini bersifat hukuman. Dia mungkin dipenjarakan untuk tempoh maksimum 36 bulan dan mempunyai rekod jenayah.

Berbanding negara lain, tempoh program ACS Korea Selatan adalah antara yang paling lama. Program ACS berlanjutan selama 36 bulan, iaitu dua kali ganda tempohnya berbanding khidmat tentera. Sepanjang masa itu, mereka seolah-olah hidup seperti banduan penjara. Mereka tinggal di asrama yang terletak dalam kawasan penjara dan dikenakan banyak sekatan. Beberapa pakar menganggap program ACS Korea Selatan sebagai “hukuman alternatif” dan tidak memenuhi piawaian ACS. a

Menurut keputusan yang dibuat pada 28 Jun 2018, Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan bersetuju bahawa hak calon yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani harus dipelihara. Tambahan lagi, Mahkamah Perlembagaan menyatakan, “Jika khidmat alternatif terlalu berat atau lama sehingga menyebabkan individu tersebut berasa susah untuk melaksanakannya, aturan khidmat alternatif akan menjadi sia-sia atau menjadi seperti suatu hukuman. Hal ini juga melanggar hak asasi manusia.”

Pada tahun 1998, Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia telah menetapkan standard antarabangsa bagi khidmat alternatif dalam suatu resolusi. Negara-negara yang mewajibkan khidmat tentera harus menyediakan khidmat alternatif bagi calon yang menolak khidmat sedemikian atas dasar hati nurani atau agama. Khidmat alternatif itu haruslah “bermanfaat bagi masyarakat dan tidak patut bersifat hukuman.”

Ini bukanlah kali pertama Hye-min harus dihadapkan ke mahkamah. Pada September 2020, Mahkamah Agung Korea Selatan telah menyatakan bahawa dia tidak bersalah kerana menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani. Beberapa minggu kemudian, dia telah memohon untuk melakukan program ACS. Pada 7 Februari 2022, dia telah disuruh melaporkan diri untuk program ACS. Tetapi setelah menilai program ACS yang ditawarkan, dia mendapati bahawa program ini bersifat hukuman lalu memutuskan untuk menolaknya.

Jika mahkamah memberi kemenangan kepada Hye-min, keputusan ini mungkin menggerakkan pihak kerajaan untuk mengubah program ACS supaya memenuhi standard antarabangsa. Perubahan ini pasti membawa banyak kebaikan kepada rakyat Korea serta para saudara kita dan keluarga mereka. Kita terus berdoa agar rakan seiman kita yang terkesan akan “tabah menempuh segala sesuatu dengan sabar dan sukacita.”—Kolose 1:11.

a Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laporan khas yang bertajuk, Khidmat Awam Alternatif di Korea Selatan,” yang disediakan oleh Persatuan Asia-Pasifik Saksi-Saksi Yehuwa.