Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB LAPAN BELAS

Maria Menyimpannya dalam Hati

Maria Menyimpannya dalam Hati

1, 2. Gambarkan keadaan Maria dalam perjalanan ke Betlehem.

MARIA berasa amat tidak selesa kerana sudah berjam-jam dia menunggang keldai, tetapi perjalanan mereka masih jauh, dan dia perlu bersabar. Di depannya, Yusuf terus mengorak langkah ke arah Betlehem. Tiba-tiba, Maria terasa tendangan bayi di dalam rahimnya.

2 Maria kini sarat mengandung, dan Bible memberitahu kita bahawa dia “hampir bersalin.” (Luk. 2:5) Seraya Yusuf dan Maria merentasi ladang-ladang, para petani pasti hairan melihat pasangan ini. Mereka mungkin tertanya-tanya mengapa wanita yang sarat mengandung ini sedang membuat perjalanan bersama suaminya. Ya, mengapakah Maria membuat perjalanan yang begitu jauh dari rumahnya di Nasaret?

3. Apakah tugasan yang diterima oleh Maria, dan apakah yang akan kita pelajari tentangnya?

3 Beberapa bulan sebelum ini, Maria menerima tugasan yang istimewa daripada Tuhan. Maria diberitahu bahawa dia akan menjadi ibu kepada Anak Tuhan, iaitu Mesias yang dijanjikan. (Luk. 1:35) Beberapa bulan kemudian, Kaisar mengeluarkan perintah yang mewajibkan mereka berdua untuk mengadakan perjalanan ini. Sepanjang perjalanan, Maria menghadapi beberapa cabaran yang menguji imannya. Mari kita melihat apa yang membantu Maria untuk tetap teguh secara rohani.

Perjalanan ke Betlehem

4, 5. (a) Mengapakah Yusuf dan Maria menuju ke Betlehem? (b) Apakah nubuat yang menjadi kenyataan kerana perintah yang diberikan oleh Kaisar?

4 Selain Yusuf dan Maria, ada banyak orang lain yang membuat perjalanan pada masa itu. Hal ini demikian kerana Kaisar Agustus telah mengeluarkan perintah kepada semua orang untuk pergi ke kota kelahiran masing-masing untuk mendaftarkan diri. Maka “Yusuf juga berangkat dari kota Nasaret di Galilea lalu pergi ke Yudea. Memandangkan dia berasal daripada keturunan Daud, dia pergi ke kota Daud yang disebut Betlehem.”​—Luk. 2:1-4.

5 Perintah yang dikeluarkan oleh Kaisar itu tidak berlaku secara kebetulan. Sebuah nubuat yang dicatatkan sekitar 700 tahun sebelum itu menyatakan bahawa Mesias akan lahir di Betlehem. Secara kebetulan, terdapat sebuah kota yang bernama Betlehem yang terletak 11 kilometer dari Nasaret. Tetapi, nubuat itu menyatakan secara khusus bahawa Mesias akan lahir di “Betlehem Efrata.” (Baca Mikha 5:2.) Jarak dari Nasaret ke Betlehem Efrata ialah kira-kira 130 kilometer, dan mereka perlu merentasi kawasan pergunungan. Itulah destinasi Yusuf dan Maria, kerana itulah tempat asal Raja Daud, leluhur mereka.

6, 7. (a) Apakah cabaran yang perlu ditempuh oleh Maria dalam perjalanannya ke Betlehem? (b) Selepas menjadi isteri Yusuf, bagaimanakah hal itu mempengaruhi cara Maria membuat keputusan? (Lihat juga nota kaki.)

6 Adakah Maria sudi menyokong keputusan Yusuf untuk membuat perjalanan ini? Dia tahu bahawa dia perlu menempuh banyak cabaran sepanjang perjalanan ke Betlehem. Contohnya, waktu itu ialah awal musim luruh, dan hujan gerimis sering turun pada waktu itu. Selain itu, Betlehem terletak sekitar 760 meter di atas paras laut. Maka mereka perlu menaiki lereng-lereng bukit untuk sampai ke destinasi mereka. Barangkali perjalanan mereka lebih mencabar dan mengambil masa yang lebih lama daripada biasa kerana Maria sudah sarat mengandung dan perlu sering berehat. Lagipun Maria hampir bersalin, maka dia mungkin teringin tinggal di rumah bersama sanak saudaranya yang dapat membantunya. Ya, Maria memerlukan keberanian untuk membuat perjalanan yang sukar ini.

Perjalanan ke Betlehem amat mencabar

7 Lukas menyatakan bahawa Yusuf pergi untuk “mendaftarkan diri bersama-sama isterinya Maria.” (Luk. 2:4, 5) Maka kita tahu bahawa Maria menerima dan menyokong keputusan suaminya. Dia sedar bahawa suaminya ialah ketua keluarga, dan peranannya adalah sebagai pembantu suaminya. * Maka Maria telah menunjukkan imannya dan berjaya mengatasi cabaran ini dengan menunjukkan kepatuhan.

8. (a) Apakah hal lain yang mungkin mendorong Maria untuk akur dengan keputusan suaminya? (b) Bagaimanakah teladan Maria dapat membantu kita?

8 Apakah hal lain yang mungkin mendorong Maria untuk akur dengan keputusan suaminya? Adakah Maria mengetahui nubuat tentang kelahiran Mesias di Betlehem? Bible tidak memberitahu kita. Tetapi, kita dapat menyimpulkan bahawa Maria mengetahui nubuat itu kerana banyak pemimpin agama dan orang lain pun tahu tentangnya. (Mat. 2:1-7; Yoh. 7:40-42) Lagipun, Maria mengenal Firman Tuhan dengan baik. (Luk. 1:46-55) Tetapi tidak kira sama ada Maria membuat perjalanan itu kerana nubuat Yehuwa, atau kerana dia mahu mentaati suaminya, atau kerana perintah pihak berkuasa, Maria merupakan suri teladan yang patut kita contohi. Yehuwa mengasihi lelaki dan wanita yang rendah hati dan patuh kepada-Nya. Dewasa ini, ketundukan merupakan sifat yang tidak popular, tetapi teladan Maria dapat menyemarakkan keinginan kita untuk mematuhi Tuhan.

Kelahiran Kristus

9, 10. (a) Apakah yang mungkin difikirkan oleh Yusuf dan Maria? (b) Mengapakah Yusuf dan Maria tinggal di dalam kandang binatang?

9 Maria pasti berasa lega semasa dia nampak Betlehem dari jauh. Semasa mereka mendaki lereng bukit dan melalui kebun zaitun, Maria dan Yusuf mungkin terfikir tentang sejarah Betlehem. Seperti yang dinyatakan dalam nubuat Mikha, Betlehem merupakan tempat yang kecil jika dibandingkan dengan ribuan kota di Yehuda. Namun, inilah tempat lahir Boaz, Naomi, dan Daud.

10 Memandangkan ramai orang tiba sebelum Maria dan Yusuf, mereka tidak dapat mencari tempat penginapan. * Oleh itu, mereka terpaksa tinggal di dalam kandang binatang. Yusuf pasti risau apabila dia melihat isterinya yang tersayang menderita kesakitan yang teruk. Nampaknya sudah tiba masanya bagi Maria untuk melahirkan anaknya.

11. (a) Mengapakah kebanyakan wanita dapat memahami perasaan Maria? (b) Mengapakah gelaran “anak sulung” sesuai bagi Yesus?

11 Kebanyakan wanita dapat memahami perasaan Maria. Kira-kira 4,000 tahun sebelum ini, Yehuwa menubuatkan bahawa wanita akan mengalami kesakitan yang besar semasa melahirkan anak. (Kej. 3:16) Nampaknya Maria tidak terkecuali. Tanpa huraian terperinci, Lukas memberitahu kita, “Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung.” (Luk. 2:7) Ya, Maria telah melahirkan “anaknya yang sulung” dan pada kemudian hari dia melahirkan sekurang-kurangnya enam orang anak lagi. (Mrk. 6:3) Tetapi “anaknya yang sulung” ini amat istimewa kerana anak ini ialah “anak sulung antara semua ciptaan,” iaitu satu-satunya Anak Tuhan!​—Kol. 1:15.

12. Maria melahirkan anaknya di mana? Bagaimanakah keadaan itu berbeza dengan drama atau lukisan yang menggambarkan kelahiran Yesus?

12 Kemudian Bible menyatakan, “[Maria] membalutnya dengan kain dan meletakkannya di dalam palung.” (Luk. 2:7) Drama atau lukisan yang menggambarkan kelahiran Yesus selalunya tidak realistik. Perhatikan kenyataannya: Palung ialah tempat menyimpan makanan binatang, dan mereka berada di dalam kandang binatang. Sudah pasti itu bukan tempat yang bersih atau wangi. Sebenarnya mereka tidak akan memilih tempat seperti itu untuk melahirkan anak jika mereka ada pilihan lain. Kebanyakan ibu bapa mahukan apa yang terbaik bagi anak-anak mereka. Seperti kebanyakan ibu bapa yang lain, Maria dan Yusuf pasti ingin memberikan yang terbaik bagi anak mereka, terutamanya kerana Yesus ialah Anak Tuhan.

13. (a) Meskipun keadaan mereka susah, apakah yang dilakukan oleh Maria dan Yusuf? (b) Bagaimanakah ibu bapa dewasa ini dapat meniru teladan mereka?

13 Meskipun keadaan itu tidak menyenangkan, Yusuf dan Maria tidak berfokus kepada hal-hal negatif. Yusuf dan Maria tahu bahawa tanggungjawab mereka yang terpenting adalah untuk mengajar anak mereka mengasihi Yehuwa. (Baca Ulangan 6:6-8.) Meskipun begitu, Maria tetap menjaga bayi itu dengan sebaik-baiknya. Dia membalut bayi itu dengan kain lalu membaringkannya di dalam palung. Dia memastikan bayinya selesa dan selamat. Dewasa ini, ibu bapa yang bijaksana juga memastikan bahawa mereka mengutamakan hal-hal rohani semasa membesarkan anak-anak mereka.

Kunjungan yang Menggalakkan

14, 15. (a) Mengapakah para gembala bergegas untuk mencari bayi yang baru lahir itu? (b) Apakah yang dilakukan oleh para gembala setelah melihat bayi itu?

14 Suasana yang tenang itu tiba-tiba diusik dengan kedatangan para gembala yang tidak sabar-sabar untuk berjumpa dengan bayi yang baru lahir itu. Dengan penuh bersemangat, mereka memberitahu Yusuf dan Maria bahawa semasa mereka menjaga kawanan bebiri di padang, malaikat Tuhan tiba-tiba menampakkan diri kepada mereka. * Kemuliaan Yehuwa memancar di sekeliling mereka. Kemudian malaikat itu memberitahu mereka bahawa Mesias baru sahaja lahir di Betlehem, dan dia telah dibalut dengan kain dan dibaringkan di dalam palung. Kemudian sesuatu yang lebih menakjubkan berlaku! Mereka nampak sepasukan besar malaikat muncul dan mula memuji-muji Tuhan.​—Luk. 2:8-14.

15 Itulah sebabnya para gembala itu pergi ke Betlehem. Tepat seperti yang digambarkan oleh malaikat Tuhan, mereka nampak bayi itu di situ. Dengan gembira, mereka memberitahu orang apa yang telah berlaku, dan ‘semua orang yang mendengarnya berasa sangat hairan.’ (Luk. 2:17, 18) Para pemimpin agama pada zaman itu memandang rendah pada para gembala. Tetapi Yehuwa menghargai orang yang rendah hati dan beriman. Apakah perasaan Maria pada waktu itu?

Yehuwa menghargai gembala yang rendah hati dan beriman

16. Bagaimanakah Maria menunjukkan bahawa dia suka merenungkan hal-hal rohani secara mendalam?

16 Maria berasa sangat lemah pada waktu itu kerana dia baru sahaja melahirkan anak. Tetapi dia mendengar segala-galanya dengan penuh perhatian. Bible memberitahu kita, “Maria menyimpan semua yang dikatakan itu dalam hatinya dan merenungkan ertinya.” (Luk. 2:19) Ya, wanita muda ini suka merenungkan hal-hal rohani secara mendalam. Dia tahu bahawa pesanan malaikat itu sangat penting kerana Yehuwa ingin dia mengetahui identiti sebenar anaknya itu dan menghargainya sebagai Anak tunggal Tuhan. Maka, dia tidak sekadar mendengar. Dia menyimpan semua yang dikatakan itu dalam hatinya agar dapat direnungkan lagi pada kemudian hari. Inilah sebab utama Maria dapat memperlihatkan iman sepanjang hidupnya.​—Baca Ibrani 11:1.

Maria mendengar kata-kata gembala dengan teliti dan menyimpannya dalam hati untuk direnungkan

17. Bagaimanakah kita dapat meniru contoh Maria?

17 Adakah anda akan meniru contoh Maria? Yehuwa telah memastikan bahawa Firman-Nya mengandungi kebenaran rohani yang penting. Tetapi untuk meraih manfaat daripadanya, kita harus ingat bahawa Bible ialah Firman Tuhan dan membacanya setiap hari. (2 Tim. 3:16) Kemudian seperti Maria, kita mahu menyimpan permata-permata rohani itu dalam hati kita. Kita dapat berbuat demikian dengan merenungkan apa yang dibaca dan berfikir tentang cara kita dapat menerapkannya agar iman kita diperkukuh.

Lebih Banyak Kata-Kata untuk Direnungkan

18. (a) Bagaimanakah Maria dan Yusuf mematuhi Hukum Musa? (b) Apakah korban yang dipersembahkan oleh mereka? Hal ini menunjukkan apa tentang keadaan kewangan mereka?

18 Sesuai dengan apa yang tercatat dalam Hukum Musa, apabila anak Maria dan Yusuf berumur lapan hari, mereka membawanya untuk disunat. Selepas itu, mereka menamakannya Yesus. (Luk. 1:31) Kemudian pada hari ke-40, mereka pergi ke Rumah Tuhan di Yerusalem, yang jaraknya 10 kilometer dari Betlehem. Mereka mempersembahkan korban penyucian yang ditentukan bagi orang miskin, iaitu dua ekor burung tekukur atau dua ekor burung merpati. Adakah mereka berasa malu kerana tidak mampu mempersembahkan seekor biri-biri jantan? Kita tidak tahu, tetapi mereka tetap mematuhi Hukum Musa, dan Tuhan telah menguatkan iman mereka.​—Luk. 2:21-24.

19. (a) Apakah yang dikatakan oleh Simeon kepada Maria? (b) Apakah reaksi Hana apabila dia nampak Yesus?

19 Di Rumah Tuhan, terdapat seorang lelaki tua yang bernama Simeon. Tuhan telah memberitahu Simeon bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Mesias. Pada waktu itu, Tuhan memberitahunya bahawa Yesus ialah Mesias yang telah dijanjikan. Maka dia menghampiri Maria dan memberitahu Maria tentang semua ini, dan tentang kesakitan yang akan dialaminya pada kemudian hari. Dia berkata bahawa Maria akan merintih kesedihan seolah-olah hatinya ditembusi sebilah pedang yang panjang. (Luk. 2:25-35) Maria pasti telah menyimpan kata-kata itu dalam hatinya, dan kata-kata itu telah membantu Maria untuk bertabah apabila Yesus dibunuh 30 tahun kemudian. Selepas itu, seorang nabi wanita yang bernama Hana nampak Yesus dan mula bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Yerusalem dibebaskan.​—Baca Lukas 2:36-38.

Maria dan Yusuf mendapat galakan di Rumah Yehuwa

20. Mengapakah keputusan Yusuf dan Maria untuk membawa Yesus ke Rumah Tuhan ialah keputusan yang bijak?

20 Alangkah bijaknya keputusan Yusuf dan Maria kerana membawa Yesus ke Rumah Yehuwa walaupun dia masih bayi! Oleh sebab mereka berbuat demikian, Yesus memupuk tabiat yang baik dan selalu pergi ke Rumah Yehuwa untuk beribadat. Semasa mereka berada di situ, mereka mempersembahkan korban menurut kemampuan mereka dan mendapat bimbangan dan galakan. Maria meninggalkan Rumah Tuhan pada hari itu dengan iman yang lebih kuat dan hati yang penuh dengan kebenaran rohani. Pastinya dia telah merenungkan kebenaran rohani itu dan mengongsinya dengan orang lain.

21. Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman kita?

21 Banyak ibu bapa dewasa ini juga meniru teladan Yusuf dan Maria. Mereka selalu membawa anak-anak mereka menghadiri perjumpaan Kristian. Mereka mempersembahkan “korban” menurut kemampuan mereka dengan memberikan kata-kata galakan kepada rakan seiman. Hasilnya, iman mereka dikuatkan dan hati mereka lebih bersukacita kerana telah berkongsi apa yang baik dengan orang lain. Usaha mereka memang patut dipuji! Jika kita berbuat demikian, iman kita juga akan bertambah teguh.

^ per. 7 Perhatikan perbezaan antara catatan ini dengan catatan di Lukas 1:39 yang menyatakan bahawa “Maria berangkat dan bergegas” untuk melawat Elisabet. Pada masa itu, Maria belum berkahwin. Maka dia bertindak tanpa berunding dengan Yusuf. Tetapi selepas berkahwin, Yusuflah yang membuat keputusan.

^ per. 10 Pada zaman itu, setiap kota mempunyai sebuah tempat penginapan yang dikhaskan untuk orang yang singgah.

^ per. 14 Memandangkan para gembala itu berada di padang untuk menjaga ternakan mereka, sudah pasti Yesus tidak lahir pada bulan Disember kerana kawanan mereka tidak akan dibiarkan di padang pada bulan Disember. Selaras dengan kronologi Bible, nampaknya Yesus lahir sekitar awal bulan Oktober.