Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAB SEBELAS

Dia Berjaga-jaga, dan Dia Menunggu

Dia Berjaga-jaga, dan Dia Menunggu

1, 2. Apakah yang perlu dilakukan oleh Elia? Bagaimanakah Ahab dan Elia berbeza?

ELIA ingin sekali berdoa secara peribadi kepada Yehuwa. Tetapi dia dikerumuni orang yang mahu memuji dia kerana mereka baru sahaja nampak api turun dari langit selepas dia berseru kepada Tuhan. Lagipun, Elia perlu melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan. Dia perlu bercakap kepada Ahab.

2 Ahab dan Elia sangat berbeza. Ahab seorang raja yang berpakaian mewah. Dia murtad, tamak, dan tidak berpendirian. Elia pula seorang nabi yang berpakaian sederhana. Jubahnya mungkin diperbuat daripada kulit atau daripada bulu binatang. Dia berani, berintegriti, dan beriman. Pada penghujung hari itu, banyak yang tersingkap tentang keperibadian kedua-dua lelaki ini.

3, 4. (a) Mengapakah kita boleh mengatakan bahawa Ahab dan para penyembah Baal menerima tamparan hebat? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Pada hari itu, agama kafir yang dipuja-puja oleh Ahab dan isterinya Izebel menerima tamparan yang hebat. Ahab dan para penyembah Baal juga dimalukan habis-habisan. Dewa Baal terbukti sebagai tuhan palsu. Meskipun penganutnya merayu, menari-nari, dan melukai badan mereka sehingga darah bercucuran, dewa Baal tidak dapat menyalakan api yang kecil pun untuk membuktikan bahawa dia wujud. Dia juga tidak dapat melindungi 450 orang nabi-nabinya daripada dihukum mati. Selain itu, meskipun nabi-nabi Baal telah memohon kepadanya selama lebih daripada tiga tahun untuk mengakhiri musim kemarau yang melanda negeri Israel, dia gagal untuk membawa setitis hujan pun. Tetapi tidak lama lagi, Yehuwa akan menunjukkan keunggulan-Nya dengan mengakhiri musibah yang melanda mereka.​—1 Raj. 16:30–17:1; 18:1-40.

4 Namun bilakah Yehuwa akan bertindak? Apakah yang akan dilakukan oleh Elia sementara dia menunggu Yehuwa bertindak? Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladannya? Marilah kita melihat cara Elia menunjukkan imannya.​—Baca 1 Raja-Raja 18:41-46.

Doa Elia

5. Apakah yang dikatakan oleh Elia kepada Ahab? Adakah Ahab bertaubat setelah melihat mukjizat pada hari itu?

5 Elia menemui Ahab dan berkata kepadanya, “Pergilah, makanlah dan minumlah, kerana hamba mendengar deru hujan yang lebat.” Adakah Ahab bertaubat setelah melihat mukjizat yang berlaku pada hari itu? Nampaknya tidak. Bible memberitahu kita bahawa Ahab sekadar “pergi untuk makan dan minum.” (1 Raj. 18:41, 42) Apa pula yang dilakukan oleh Elia?

6, 7. Elia berdoa untuk apa? Mengapakah dia berdoa demikian?

6 Ketika Ahab pergi untuk makan dan minum, “Elia naik ke puncak Gunung Karmel. Di sana, dia bersujud ke tanah dengan kepalanya di antara kedua-dua lututnya.” Mengapakah Elia bersujud sedemikian? Hal ini menunjukkan kesungguhan dan kerendahan hatinya. Yakobus 5:18 memberitahu kita bahawa Elia berdoa agar kemarau itu berakhir. Barangkali dia telah memanjatkan doa itu di puncak Gunung Karmel.

Doa Elia menunjukkan bahawa dia ingin melihat kehendak Tuhan terlaksana

7 Sebelum ini, Yehuwa telah berfirman, “Aku akan menurunkan hujan ke atas permukaan bumi.” (1 Raj. 18:1) Maka Elia sedang berdoa agar tujuan Yehuwa menjadi kenyataan. Kira-kira seribu tahun kemudian, Yesus juga mengajar para pengikutnya untuk berdoa agar kehendak Tuhan terlaksana.​—Mat. 6:9, 10.

8. Apakah yang dapat kita pelajari daripada doa Elia?

8 Ada banyak pengajaran yang dapat kita raih daripada doa Elia. Elia mengutamakan pelaksanaan kehendak Tuhan. Maka semasa berdoa, kita harus ingat bahawa ‘jika kita memohon apa sahaja yang selaras dengan kehendak Tuhan, Dia mendengarkan kita.’ (1 Yoh. 5:14) Bagaimanakah kita dapat mengetahui kehendak Tuhan? Salah satu cara adalah dengan mengadakan pembelajaran Bible secara tetap. Selain itu, Elia prihatin terhadap orang sebangsanya yang menderita akibat musim kemarau itu. Selepas Yehuwa melakukan mukjizat pada hari itu, Elia pasti berdoa untuk meluahkan rasa syukurnya kepada Yehuwa. Dewasa ini, apabila kita berdoa, kita mahu bersyukur kepada Yehuwa atas kebaikan-Nya. Kita juga mahu berdoa untuk orang lain.​—Baca 2 Korintus 1:11; Filipi 4:6.

Yakin dan Berjaga-jaga

9. Apakah yang dilakukan oleh Elia sementara dia menunggu Yehuwa untuk bertindak? Apakah dua pengajaran yang dapat kita raih daripada teladan Elia?

9 Elia yakin bahawa Yehuwa akan mengakhiri kemarau itu, tetapi dia tidak tahu bila Yehuwa akan bertindak. Apakah yang dilakukan oleh Elia sementara dia menunggu Yehuwa untuk bertindak? Bible memberitahu kita, “Dia berkata kepada hambanya, ‘Naiklah dan lihatlah ke arah laut.’ Maka hambanya pergi, lalu kembali dan berkata, ‘Aku tidak nampak apa-apa pun.’ Sebanyak tujuh kali, Elia menyuruh dia pergi melihat ke arah laut.” (1 Raj. 18:43) Teladan Elia memberi kita dua pengajaran. Pertama, dia yakin kepada Tuhan. Kedua, dia berjaga-jaga.

Elia peka terhadap bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa akan segera bertindak

10, 11. (a) Bagaimanakah Elia menunjukkan imannya terhadap janji-janji Yehuwa? (b) Mengapakah kita juga dapat menunjukkan iman sedemikian?

10 Oleh sebab Elia yakin kepada janji Yehuwa, dia mencari bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa bakal bertindak. Dia mengutus hambanya ke suatu tempat yang tinggi untuk melihat sama ada hujan bakal turun atau tidak. Semasa hambanya kembali, kita dapat membayangkan hamba itu menjawab dengan sambil lewa, “Aku tidak nampak apa-apa pun.” Ya, nampaknya cuaca pada hari itu cerah dan tidak berawan. Dapatkah anda memperhatikan sesuatu yang ganjil di sini? Elia baru sahaja berkata kepada Ahab, “Hamba mendengar deru hujan yang lebat.” Tetapi bagaimanakah Elia dapat berkata demikian padahal sekepul awan pun tidak kelihatan di langit?

11 Elia tahu tentang janji Yehuwa. Selaku nabi yang mewakili Yehuwa, dia yakin bahawa Yehuwa pasti akan menunaikan janji-Nya. Imannya begitu teguh sehingga dia seolah-olah dapat mendengar deru hujan. Hal ini mengingatkan kita tentang Musa, yang “tetap teguh seolah-olah dia dapat melihat Tuhan yang tidak kelihatan.” Adakah Tuhan nyata bagi anda? Dia memberi kita banyak sebab untuk beriman kepada-Nya dan janji-janji-Nya.​—Ibr. 11:1, 27.

12. Bagaimanakah Elia menunjukkan sikap berjaga-jaga? Apakah reaksinya terhadap berita tentang sekepul awan yang kecil?

12 Perhatikanlah sikap berjaga-jaga yang ditunjukkan oleh Elia. Dia mengutus hambanya bukan satu atau dua kali sahaja, tetapi sebanyak tujuh kali! Kita dapat membayangkan bahawa hamba itu sangat letih kerana terpaksa berulang-alik banyak kali, tetapi Elia tetap mahu melihat tanda daripada Tuhan dan dia tidak berputus asa. Akhirnya pada kali ketujuh, hambanya kembali sambil menghembuskan nafas lega lalu berkata, “Aku nampak awan sekecil tapak tangan naik dari laut.” Dia mungkin tidak kagum dengan awan yang kecil itu, tetapi bagi Elia, awan itu membawa makna yang mendalam. Maka Elia berkata kepada hambanya, “Pergilah menghadap Raja Ahab, dan beritahulah baginda, ‘Siapkanlah kereta kuda tuanku dan pergilah agar tuanku tidak dihalang hujan yang lebat.’”​—1 Raj. 18:44.

13, 14. (a) Bagaimanakah kita dapat meniru sikap Elia yang berjaga-jaga? (b) Apakah sebab-sebabnya kita harus bertindak dengan cepat?

13 Sekali lagi, Elia memberi kita teladan yang baik. Seperti Elia, kita juga hidup pada waktu Tuhan akan melaksanakan kehendak-Nya tidak lama lagi. Elia menunggu musim kemarau berakhir; umat Tuhan hari ini menunggu sistem dunia yang jahat ini berakhir. (1 Yoh. 2:17) Seperti Elia, kita harus terus berjaga-jaga sehingga Yehuwa bertindak. Anak Tuhan, iaitu Yesus, menasihati para pengikutnya, “Teruslah berjaga-jaga, kerana kamu tidak tahu bila Tuan kamu akan datang.” (Mat. 24:42) Adakah Yesus memaksudkan bahawa para pengikutnya langsung tidak tahu bila akhir akan tiba? Tidak, kerana dia telah menggambarkan secara terperinci apa yang akan berlaku sebelum akhir tiba. Maka kita semua harus menunjukkan sikap berjaga-jaga dan memerhatikan bagaimana tanda “penghujung sistem ini” menjadi kenyataan.​—Baca Matius 24:3-7.

Sekepul awan sudah pun mencukupi bagi Elia untuk yakin bahawa Yehuwa akan bertindak. Tanda penghujung sistem ini juga meyakinkan kita bahawa kita perlu bertindak

14 Setiap perincian dalam tanda itu menyediakan bukti yang kukuh bagi kita. Bukti-bukti itu menggerakkan kita untuk bertindak dengan cepat dan mengutamakan Yehuwa dalam hidup kita. Sekepul awan yang kecil sudah pun mencukupi bagi Elia untuk yakin bahawa Yehuwa akan bertindak. Adakah Elia akan dikecewakan?

Yehuwa Membawa Kelegaan dan Berkat

15, 16. Apakah peristiwa menarik yang telah berlaku? Berkenaan Ahab, apakah yang diharapkan oleh Elia?

15 Bible menyambung, “Sementara itu, langit penuh dengan awan hitam, dan angin kencang bertiup, lalu hujan yang lebat pun turun. Ahab terus menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.” (1 Raj. 18:45) Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata. Sementara hamba Elia menyampaikan mesej Elia kepada Ahab, sekepul awan yang kecil itu bertambah banyak sehingga memenuhi seluruh langit. Langit menjadi gelap dan angin ribut bertiup dengan kencang. Akhirnya musim kemarau yang melanda negeri Israel selama tiga tahun setengah telah tamat. Air hujan mula memenuhi rekahan-rekahan di tanah dan air Sungai Kison melimpah sehingga mencuci bersih darah nabi-nabi Baal yang telah dihukum mati. Bangsa Israel juga diberi peluang untuk membersihkan noda penyembahan Baal yang telah mencemari negeri mereka selama ini.

“Hujan yang lebat pun turun”

16 Sudah pasti Elia berharap agar orang Israel akan bertaubat. Dia juga mungkin berharap agar Ahab akan bertaubat dan meninggalkan penyembahan Baal. Sebenarnya, setelah menyaksikan peristiwa yang berlaku pada hari itu, Ahab memang patut bertaubat. Kita tidak tahu apa yang terlintas dalam fikiran Ahab pada waktu itu, tetapi Bible menyatakan bahawa “Ahab terus menaiki kereta kudanya lalu pergi ke Yizreel.” Adakah Ahab mengambil iktibar daripada peristiwa itu? Adakah dia bertekad untuk mengubah haluannya? Catatan Bible yang seterusnya menunjukkan bahawa dia langsung tidak berubah.

17, 18. (a) Menurut 1 Raja-Raja 18:46, apakah yang berlaku kepada Elia? (b) Mengapakah peristiwa ini sesuatu yang luar biasa? (Lihat juga nota kaki.)

17 Elia mula menyusuri jalan yang telah dilalui oleh Ahab. Pada waktu itu, hari sudah gelap dan jalan itu becak. Lagipun dia harus membuat perjalanan yang jauh. Tetapi sesuatu yang menakjubkan bakal berlaku.

18 “Pada masa itu, Elia mendapat kekuatan daripada Yehuwa. Dia mengikat jubahnya pada pinggang dan berlari mendahului Raja Ahab sepanjang jalan sampai ke Yizreel.” (1 Raj. 18:46) Sudah pasti Elia mendapat kuasa daripada Yehuwa untuk berbuat demikian kerana Yizreel terletak sejauh 30 kilometer dari Karmel, dan Elia pun sudah lanjut usia. * Bayangkanlah nabi yang tua itu berlari dengan begitu pantas sehingga dia berjaya mendahului kereta kuda Ahab!

19. (a) Mukjizat yang dialami oleh Elia mengingatkan kita tentang nubuat apa? (b) Apakah yang diketahui oleh Elia sewaktu dia berlari ke Yizreel?

19 Elia pasti berasa sangat gembira kerana dia dapat merasai kekuatan, tenaga, dan stamina, yang tidak pernah dirasainya bahkan pada waktu mudanya. Hal ini mengingatkan kita tentang nubuat-nubuat Bible yang menyatakan bahawa orang yang setia dapat menikmati kesihatan yang sempurna di bumi Firdaus. (Baca Yesaya 35:6; Luk. 23:43) Sewaktu Elia berlari di atas jalan yang becak itu, dia pasti tahu bahawa dia mendapat perkenan Yehuwa, satu-satunya Tuhan yang benar!

20. Apakah yang harus kita lakukan untuk mendapat berkat Yehuwa?

20 Yehuwa sangat ingin memberkati kita. Tetapi jika kita ingin mendapat berkat-Nya, kita haruslah sudi membuat pengorbanan. Kita sedang hidup pada masa yang genting, maka seperti Elia, kita perlu terus berjaga-jaga dan peka terhadap bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa akan segera bertindak. Seperti Elia, kita mempunyai alasan yang kukuh untuk beriman terhadap janji-janji Yehuwa, “sumber kebenaran.”​—Mzm. 31:5.

^ per. 18 Tidak lama selepas peristiwa ini, Yehuwa menyuruh Elia untuk melatih Elisa. Elisa kemudiannya dikenali sebagai orang “yang menuangkan air ke atas tangan Elia.” (2 Raj. 3:11, nota kaki) Elia sudah tua, maka Elisa ditugaskan untuk melayani dan membantunya.