Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Dating—Bahagian 1: Adakah Saya Bersedia untuk Berdating?

Dating—Bahagian 1: Adakah Saya Bersedia untuk Berdating?

Apakah maksudnya berdating?

  Sesetengah orang memandang dating hanya sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Namun dalam rencana ini, “dating” merujuk kepada masa apabila satu pasangan meluangkan waktu bersama-sama untuk melihat adakah mereka sesuai untuk menjadi pasangan suami isteri. Maka, dating ada tujuannya. Ini bukan sekadar untuk mendapat perhatian daripada lawan jantina.

 Dating patut membantu anda untuk membuat keputusan sama ada untuk berkahwin atau mengakhiri hubungan romantik itu. Maka apabila anda mula berdating, anda haruslah bersedia untuk berdepan dengan salah satu keputusan itu.

 Kesimpulan: Jika anda yakin bahawa anda sudah bersedia untuk berdating, anda juga sepatutnya yakin bahawa anda sudah bersedia untuk berkahwin.

Berdating tanpa tujuan untuk berkahwin adalah seperti pergi ke temu duga tanpa matlamat untuk mendapatkan kerja

Adakah anda bersedia untuk dating?

  Dating dapat membawa anda ke alam perkahwinan. Jadi, anda patut memikirkan sama ada sifat-sifat yang anda miliki dapat membantu atau merosakkan hubungan anda. Sebagai contoh, fikirkan hal-hal berikut:

  •   Hubungan keluarga. Cara anda melayan ibu bapa dan adik-beradik, terutamanya semasa anda tertekan, biasanya dapat menunjukkan bagaimana anda akan melayan pasangan anda.

     Prinsip Bible: “Buangkanlah segala rasa dendam yang membara, kemarahan, perasaan berang, jeritan, kata-kata hinaan, dan segala kejahatan.”—Efesus 4:31.

     Tanyalah diri: “Adakah ibu bapa dan adik-beradik saya akan kata bahawa saya melayan mereka dengan hormat? Sewaktu saya tidak setuju dengan mereka, adakah saya dapat membincangkan hal itu dengan tenang, atau adakah saya akan naik marah dan bertengkar?”

    Jika anda tidak dapat mengatasi konflik dengan ibu bapa anda, adakah anda benar-benar dapat atasi konflik dengan pasangan anda?

  •   Rela berkorban. Apabila anda berkahwin, anda perlu mempertimbangkan dan selalu mengalah dengan kehendak pasangan anda.

     Prinsip Bible: “Hendaklah setiap orang sentiasa berusaha melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain, dan bukan hanya melakukan apa yang berfaedah bagi diri sendiri.”—1 Korintus 10:24.

     Tanyalah diri: “Adakah saya selalu berkeras dengan cara sendiri? Adakah orang lain memandang saya sebagai seorang yang munasabah? Dalam cara apakah saya telah menunjukkan bahawa saya lebih mengutamakan keperluan orang lain berbanding diri sendiri?”

  •   Kerendahan hati. Pasangan yang baik akan sudi mengakui kesilapannya dan akan meminta maaf dengan ikhlas.

     Prinsip Bible: “Kita semua sering berbuat silap.”—Yakobus 3:2.

     Tanyalah diri: “Adakah saya sudi mengakui kesilapan saya, atau adakah saya akan membela diri? Adakah saya terlalu sensitif apabila orang memberi saya nasihat yang dapat membantu saya?”

  •   Kewangan. Seseorang yang dapat mengurus wang dengan bijak dapat mengelakkan salah satu penyebab konflik dalam perkahwinan.

     Prinsip Bible: “Siapakah antara kamu yang ingin membina sebuah menara, tetapi tidak duduk dan mengira perbelanjaannya terlebih dahulu untuk melihat sama ada wangnya cukup untuk menyiapkan pembinaan itu atau tidak?”—Lukas 14:28.

     Tanyalah diri: “Dapatkah saya mengawal perbelanjaan saya, atau adakah saya sering berhutang? Bagaimanakah saya menunjukkan bahawa saya mengurus kewangan dengan bijak?”

  •   Keadaan rohani. Jika anda salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa, anda sepatutnya mempunyai rutin pembelajaran Bible dan menghadiri perjumpaan Kristian secara tetap.

     Prinsip Bible: “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.”—Matius 5:3.

     Tanyalah diri: “Adakah saya mengambil inisiatif untuk menjaga kerohanian saya? Adakah saya mengutamakan rutin rohani, atau adakah saya membiarkan hal-hal lain mengganggu rutin itu?”

 Kesimpulan: Orang yang akan anda kahwini layak mendapat pasangan yang baik. Jika anda sedang berusaha untuk menjadi pasangan yang baik, kemungkinan besar anda dapat mencari seseorang yang sedang melakukan hal yang sama.