Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menangani Gangguan Seksual?

Bagaimanakah Saya Dapat Menangani Gangguan Seksual?

 Apakah itu gangguan seksual?

 Gangguan seksual merangkumi apa-apa sahaja perbuatan yang berunsurkan seks, seperti sentuhan atau kata-kata yang berbaur seks. Tetapi kadangkala susah untuk membezakan perbuatan bermain cinta dan mengusik dengan gangguan seksual.

 Dapatkah kamu membezakannya? Lengkapkanlah  kuiz gangguan seksual dan ketahuilah jawapannya!

 Sedihnya, gangguan seksual tidak hanya berlaku di sekolah. Tetapi jika kamu memupuk keyakinan diri dan kemahiran untuk menangani gangguan seksual sekarang, kamu akan bersedia untuk menangani masalah ini di tempat kerja kamu kelak. Kamu juga mungkin dapat menghalang seorang pengganggu seksual daripada mengganggu orang lain!

 Apakah yang patut saya lakukan jika saya sedang mengalami gangguan seksual?

Jika kamu ingin menghentikan gangguan seksual, kamu perlu tahu apa itu gangguan seksual. Lihatlah tiga situasi berikut dan fikirkan cara untuk menanganinya:

SITUASI:

“Beberapa orang rakan sekerja lelaki yang lebih tua asyik memberitahu saya bahawa saya cantik dan berkata bahawa alangkah bagusnya kalau mereka berumur 30 tahun lebih muda. Salah seorang daripada mereka bahkan berjalan di belakang saya dan menghidu rambut saya!”​—Tabitha, 20.

Tabitha mungkin dapat berfikir: “Jika saya tidak menghiraukannya dan terus bersabar, dia mungkin akan berhenti.”

Mengapa hal ini tidak berkesan: Pakar menyatakan bahawa apabila si mangsa tidak menghiraukan gangguan seksual, keadaan buruk itu biasanya akan berterusan dan bahkan bertambah buruk.

Cuba cara ini: Dengan tenang tetapi tegas, beritahulah si pengganggu seksual itu bahawa kamu tidak akan bersabar dengan kata-kata atau kelakuannya. Taryn yang berusia 22 tahun berkata, “Jika ada orang meraba saya, saya akan memberinya amaran agar jangan buat begitu lagi. Biasanya orang itu akan terkejut.” Jika orang itu masih mengganggu kamu, teruslah bersikap tegas dan jangan putus asa. Berkenaan hal-hal moral, Bible menasihati kita agar “berdiri teguh dengan penuh keyakinan dan kematangan.”​—Kolose 4:12, Alkitab Versi Borneo.

Bagaimana pula jika si pengganggu seksual itu mengugut kamu? Jika hal ini berlaku, beredarlah dari situ secepat mungkin, dan minta bantuan orang dewasa yang kamu percayai.

SITUASI:

“Semasa saya darjah enam, dua orang gadis telah menghalang saya di koridor sekolah. Salah seorang daripada mereka ialah lesbian, dan dia mahu saya berdating dengannya. Biarpun saya menolak, mereka masih mengganggu saya setiap hari. Pernah sekali, mereka menghimpit saya ke dinding sehingga saya tidak dapat bergerak!”​—Victoria, 18.

Victoria mungkin dapat berfikir: “Jika saya beritahu orang lain tentang hal ini, mereka mungkin akan fikir saya lemah, dan mungkin tiada orang akan percaya kata-kata saya.”

Mengapa hal ini tidak berkesan: Jika kamu merahsiakannya, si pengganggu seksual itu mungkin akan terus mengganggu kamu, dan bahkan mengganggu orang lain.​—Pengkhutbah 8:11.

Cuba cara ini: Minta bantuan orang lain. Ibu bapa atau guru kamu dapat membantu kamu untuk menghentikan gangguan seksual itu. Tetapi bagaimana pula jika mereka meremehkan aduan kamu? Jika demikian, setiap kali kamu diganggu, catatkan butirannya, seperti tarikh, masa, lokasi, dan apa yang dikatakan oleh si pengganggu seksual itu. Kemudian berikan catatan itu kepada ibu bapa atau guru kamu. Biasanya orang akan lebih memandang serius aduan yang bertulis.

SITUASI:

“Saya amat takut kepada seorang pemain ragbi. Tingginya hampir dua meter, dan beratnya lebih kurang 135 kilogram! Dia fikir bahawa dia dapat meniduri saya. Maka selama satu tahun, dia mengganggu saya hampir setiap hari. Pada suatu hari, kami berdua sahaja yang ada di dalam kelas, dan dia mula mendekati saya. Saya cepat-cepat bangun dan lari ke luar.”​—Julieta, 18.

Julieta mungkin dapat berfikir: “Perangai budak lelaki memang begitu.”

Mengapa hal ini tidak berkesan: Si pengganggu seksual itu tidak akan berhenti selagi semua orang berasa bahawa perbuatannya tidak salah.

Cuba cara ini: Pastikan bahawa reaksi kamu, termasuk raut wajah kamu, menunjukkan bahawa kamu tidak akan bersabar dengan perbuatan si pengganggu seksual. Jika kamu meremehkan apa yang telah berlaku, atau berlawak tentangnya, si pengganggu seksual itu akan berfikir bahawa hal ini tidak serius.

 Apakah yang akan saya lakukan?

KISAH BENAR 1:

“Saya tidak suka bersikap biadab terhadap orang lain. Jadi apabila orang mengganggu saya, saya memang meminta mereka untuk berhenti. Tetapi semasa bercakap kepada mereka, saya senyum dan tidak bersikap tegas. Maka mereka ingat saya sedang bermain cinta.”—Tabitha.

  • Jika kamu ialah Tabitha, bagaimanakah kamu akan menangani situasi ini? Mengapa?

  • Mengapakah si pengganggu seksual itu mungkin berfikir bahawa kamu sedang bermain cinta?

KISAH BENAR 2:

“Pada mulanya, beberapa budak lelaki dalam kelas pendidikan jasmani saya mengucapkan kata-kata yang tidak senonoh kepada saya. Saya tidak menghiraukan mereka selama beberapa minggu. Tetapi keadaan bertambah buruk. Mereka mula duduk di sebelah saya dan meletakkan tangan mereka pada bahu saya. Saya menolak tangan mereka, tetapi mereka masih enggan berhenti. Akhirnya, seorang budak lelaki memberi saya sekeping kertas yang mengandungi kata-kata yang menjijikkan. Saya menyerahkan kertas itu kepada guru saya, dan budak lelaki itu digantung sekolah. Saya sedar bahawa saya patut memberitahu guru saya dari awal lagi!”—Sabina.

  • Pada pendapat kamu, mengapakah Sabina tidak memberitahu gurunya dari awal lagi? Adakah keputusannya bijak? Mengapa ya atau mengapa tidak?

KISAH BENAR 3:

“Adik lelaki saya Greg berada di dalam tandas, dan seorang budak lelaki mendekatinya dan berkata, ‘Ciumlah saya.’ Greg berkata tidak, tetapi budak itu enggan beredar. Sebenarnya, Greg perlu menolak budak lelaki itu daripadanya.”—Suzanne.

  • Pada pendapat kamu, adakah Greg seorang mangsa gangguan seksual? Mengapa ya atau mengapa tidak?

  • Pada pendapat kamu, mengapakah terdapat budak lelaki yang enggan memberitahu orang lain apabila mereka diganggu oleh budak lelaki yang lain?

  • Adakah Greg mengambil tindakan yang betul dalam situasi itu? Apakah yang akan kamu lakukan?

Ketahuilah lebih banyak: Lihat bab 32, “Bagaimana Aku Melindungi Diri dari Pemangsa Seksual?” dalam buku Pertanyaan Kaum Muda​—Jawaban yang Praktis, Jilid 1 dalam bahasa Indonesia.