Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Adakah Saya Seorang yang Tabah?

Adakah Saya Seorang yang Tabah?

 Adakah kamu seorang yang tabah? Adakah kamu perlu menghadapi . . .

  •   kematian orang kesayangan?

  •   penyakit kronik?

  •   bencana alam?

 Para penyelidik mendapati bahawa bukan cabaran besar sahaja yang memerlukan ketabahan, bahkan stres seharian pun dapat mempengaruhi kesihatan kamu. Itulah sebabnya kamu perlu membina ketabahan, tidak kira betapa besar atau kecil masalah yang kamu hadapi.

 Apakah itu ketabahan?

 Seorang yang tabah dapat menangani perubahan dan kesusahan dalam hidup dengan berjaya. Seperti semua orang, mereka mungkin ditimpa situasi yang susah dalam kehidupan, tetapi orang yang tabah mampu menghadapinya dan menjadi semakin teguh.

Sepertimana sesetengah pokok yang tidak akan tumbang apabila dilanda ribut, kamu juga dapat bangkit semula daripada kesusahan

 Mengapakah kamu perlu tabah?

  •   Kerana setiap orang pun akan menghadapi kesusahan. Bible berkata, “Orang yang cepat tidak semestinya menjadi juara, . . . orang yang berpengetahuan tidak semestinya berjaya, kerana waktu dan kejadian yang tidak terduga menimpa semua orang.” (Pengkhutbah 9:11) Apakah pengajarannya? Orang baik pun mungkin menderita, walaupun mereka tidak berbuat salah.

  •   Kerana ketabahan dapat melindungi kamu. Menurut pemerhatian seorang pembimbing sekolah menengah: “Terdapat begitu ramai pelajar yang datang ke pejabat saya sambil menangis atau hilang kawalan emosi kerana mendapat gred C dalam peperiksaan atau terdapat orang yang menyakiti hati mereka melalui komen dalam rangkaian sosial.” Biarpun hal-hal sebegini nampaknya remeh, dia berpendapat bahawa sekiranya mereka tidak pandai menangani situasi begitu, mereka akan “mengalami pelbagai masalah mental dan emosi yang lain.” a

  •   Kerana ketabahan dapat membantu kamu sekarang dan juga semasa kamu dewasa kelak. Mengenai kekecewaan dalam kehidupan, Doktor Richard Lerner menulis, “Orang dewasa yang berjaya dan produktif ialah orang yang mampu bangkit semula meskipun mengalami kekecewaan. Orang sebegini akan menetapkan matlamat baharu atau mencari cara lain untuk mencapai objektif mereka.” b

 Bagaimanakah kamu boleh membina ketabahan?

  •   Menilai masalah kamu dengan sewajarnya. Belajarlah untuk membezakan antara masalah besar dan masalah kecil. Bible berkata, “Orang bodoh lekas menunjukkan kemarahannya, tetapi orang bijak tidak menghiraukan hinaan.” (Amsal 12:16) Jadi, kalau masalah itu kecil sahaja, kamu tidak perlu terlalu risau tentang hal itu.

     “Rakan sekolah saya suka membesar-besarkan hal yang tidak penting. Kemudian, kawan mereka dalam rangkaian sosial akan menyokong mereka, dan membuat mereka lebih yakin bahawa hal yang tidak penting itu ialah masalah yang besar. Akibatnya mereka susah untuk menilai masalah mereka dengan sewajarnya.”—Joanne.

  •   Belajar daripada orang lain. Bible menyatakan, “Sebagaimana besi diasah oleh besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.” (Amsal 27:17) Kamu dapat belajar banyak hal yang bernilai daripada orang yang pernah mengharungi pelbagai kesusahan.

     “Apabila kamu bercakap dengan orang lain, kamu akan dapat tahu bahawa mereka juga pernah mengalami banyak cabaran, tetapi mereka OK sekarang. Cakaplah dengan mereka dan ketahui apa yang mereka lakukan atau tidak lakukan semasa menghadapi situasi yang susah itu.”—Julia.

  •   Bersabar. Bible berkata, “Orang baik mungkin jatuh tujuh kali, namun dia akan bangun semula.” (Amsal 24:16) Masa diperlukan untuk menerima sesuatu perkara buruk yang berlaku dalam kehidupan kamu. Jadi, jangan terkejut jika ada kalanya kamu berasa sedih. Yang terpenting, kamu harus “bangun semula.”

     “Walaupun kamu berusaha untuk bangkit semula daripada kesusahan yang dihadapi, hati dan emosi kamu perlukan masa untuk sembuh. Saya belajar bahawa seraya masa berlalu, saya berasa lebih mudah untuk tidak sedih lagi.”—Andrea.

  •   Tunjukkan kesyukuran. Bible berkata, “Tunjukkanlah kesyukuran kamu.” (Kolose 3:15) Tidak kira betapa seriusnya masalah yang kamu hadapi, kamu masih dapat bersyukur tentang hal-hal lain. Fikirkan tiga sebab yang membuat hidup kamu bermakna.

     “Semasa menghadapi kesusahan, kita mungkin tertanya-tanya, ‘Mengapa hal ini berlaku kepada saya?’ Orang yang tabah tidak akan asyik memikirkan masalahnya. Sebaliknya, dia akan menunjukkan sikap positif dan bersyukur terhadap apa yang dia miliki dan apa yang dia mampu buat.”—Samantha.

  •   Belajar untuk berpuas hati. Rasul Paulus berkata, “Aku sudah belajar untuk berpuas hati dengan apa yang aku miliki dalam apa jua keadaan.” (Filipi 4:11) Paulus tidak dapat mengawal perkara buruk yang berlaku kepadanya. Namun dia dapat mengawal reaksinya. Dia bertekad untuk tetap berpuas hati.

     “Saya sedar bahawa reaksi pertama saya apabila timbulnya masalah biasanya negatif. Jadi saya berusaha untuk memupuk sikap yang positif tidak kira apa jua situasi yang timbul. Hal ini bukan sahaja membawa manfaat kepada saya tetapi juga kepada orang di sekeliling saya.”—Matthew.

  •   Berdoa. Bible berkata, “Serahkanlah bebanmu kepada Yehuwa, dan Dia akan memeliharamu. Dia tidak sekali-kali membiarkan orang yang baik jatuh.” (Mazmur 55:22) Doa bukan hanya membantu kamu secara emosi, tetapi doa juga merupakan cara untuk berkomunikasi dengan Pencipta kamu yang “mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.

     “Saya tidak keseorangan apabila menghadapi masalah. Saya boleh berdoa dan meluahkan semua masalah saya kepada Tuhan dan mengucapkan syukur kepada-Nya. Dengan demikian, saya dapat mengatasi perasaan negatif dan bertumpu kepada berkat yang saya terima daripada Yehuwa. Doa begitu penting bagi saya!”—Carlos.

a Daripada buku Disconnected, oleh Thomas Kersting.

b Daripada buku The Good Teen—Rescuing Adolescence From the Myths of the Storm and Stress Years.