Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menyiapkan Kerja Rumah Saya?

Bagaimanakah Saya Dapat Menyiapkan Kerja Rumah Saya?

 “Buat kerja rumah sampai jam 1:00 pagi memang memenatkan. Saya fikir mahu tidur saja.”—David.

 “Kadang-kadang saya belajar sampai jam 4:30 pagi, dan saya perlu bangun jam 6:00 pagi untuk pergi ke sekolah. Saya sangat letih!”—Theresa.

 Adakah kamu dibanjiri dengan kerja rumah? Jika ya, rencana ini dapat membantu kamu.

 Mengapakah cikgu memberikan kerja rumah?

 Kerja rumah dapat membantu kamu . . .

  •   meningkatkan pengetahuan

  •   menjadi lebih bertanggungjawab

  •   belajar mengurus masa dengan lebih baik

  •   lebih memahami apa yang sudah diajarkan di dalam kelas a

 “Cikgu memberikan kerja rumah untuk pastikan bahawa pelajar mereka dapat berlatih apa yang sudah dipelajari, dan bukannya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.”—Marie.

 Subjek matematik dan sains khususnya dapat meningkatkan kemahiran untuk menyelesaikan masalah. Pakar-pakar menyatakan bahawa hal itu dapat membina dan menguatkan hubungan sel-sel otak. Jadi kerja rumah ialah latihan untuk otak kamu!

 Sama ada kamu dapat melihat manfaatnya atau tidak, kamu masih perlu melakukan kerja rumah kamu. Walaupun kamu tidak dapat mengawal berapa banyak kerja rumah yang diberikan, kamu dapat kurangkan masa untuk menyiapkannya. Mari kita lihat caranya.

 Tip untuk belajar

 Adakah kamu rasa susah untuk siapkan kerja rumah? Sebenarnya kamu tidak perlu berusaha bermati-matian jika kamu buat kerja dengan bijak. Perhatikan cadangan berikut.

  •   Tip 1: Buat rancangan. Bible menyatakan, “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.” (Amsal 21:5) Sediakanlah semua bahan yang diperlukan supaya semasa belajar kamu tidak perlu buang masa untuk mencarinya.

     Selain itu, pilihlah lokasi yang dapat membantu kamu berfokus. Sesetengah orang mencari tempat yang sunyi dan terang di dalam rumah mereka. Yang lain pula lebih suka belajar di luar rumah, seperti di perpustakaan.

     “Alat seperti kalendar atau buku jadual dapat bantu kamu rancang masa dengan bijak. Kamu juga akan berasa kurang tertekan jika kamu tahu tugas-tugas yang perlu dilakukan dan masa untuk menyiapkannya.”—Richard.

  •   Tip 2: Atur tugas kamu. Bible menyatakan, “Segala sesuatu haruslah berlaku dengan . . . teratur.” (1 Korintus 14:40) Maka, tentukanlah tugas mana yang perlu dilakukan terlebih dahulu.

     Sesetengah orang lebih suka buat tugas yang susah terlebih dahulu. Ada pula yang mula dengan tugas yang lebih senang, kerana hal itu membuat mereka lebih bersemangat untuk menyiapkannya. Pilihlah mana yang sesuai bagi kamu.

     “Dengan buat satu senarai, kamu akan tahu apa yang perlu dilakukan mengikut keutamaan. Kamu tidak akan rasa dibebani kerana semuanya dalam kawalan kamu.”—Heidi.

  •   Tip 3: Mulakan kerja. Bible menyatakan, “Janganlah malas, sebaliknya hendaklah kamu rajin.” (Roma 12:11) Kamu mungkin lebih suka buat aktiviti lain. Tetapi janganlah biarkan aktiviti itu mengganggu masa kamu untuk menyiapkan kerja rumah.

     Orang yang suka menunda-nunda biasanya akan lewat atau tergesa-gesa menyiapkan kerja rumah. Akibatnya, pembelajaran mereka dan hasil kerja mereka pun tidak begitu memuaskan. Jika kamu melakukan kerja rumah kamu seawal yang mungkin, kamu tidak akan berasa risau dan menyesal.

     “Apabila saya buat kerja rumah dengan segera selepas balik dari sekolah ataupun memulakan projek seawal yang mungkin, saya tidak perlu risau tentangnya pada kemudian hari dan ini tidak akan mengganggu aktiviti saya yang lain.”—Serina.

     CADANGAN: Buatlah kerja rumah pada masa yang sama setiap hari. Hal ini dapat membantu kamu menjadi pelajar yang lebih berdisiplin dan konsisten.

  •   Tip 4: Tumpukan perhatian. Bible menyatakan, “Janganlah menoleh ke kiri atau ke kanan.” (Amsal 4:25) Semasa belajar, elakkanlah hal-hal yang dapat mengganggu tumpuan kamu terutamanya alat elektronik.

     Melayari laman web dan bermesej dapat menyebabkan kamu menggunakan lebih banyak masa untuk menyiapkan kerja rumah. Namun, jika kamu menumpukan perhatian, kamu bukan sahaja kurang tertekan malah kamu akan dapat peluang untuk bersenang-lenang.

     “Telefon, komputer, permainan game, dan TV akan buat saya susah untuk menumpukan perhatian. Jadi, saya akan matikan telefon dan alat-alat lain yang dapat mengganggu saya.”—Joel.

  •   Tip 5: Bersikap seimbang. Bible menyatakan, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” (Filipi 4:5) Kamu boleh kurangkan stres dengan meluangkan masa untuk berehat seketika, seperti berjalan, berbasikal, atau berlari.

     Jika kamu masih rasa dibebani dengan kerja rumah kamu, cubalah beritahu cikgu kamu. Sekiranya mereka nampak kamu sudah melakukan yang terbaik, mereka mungkin sudi membuat penyesuaian untuk membantu kamu.

     “Buatlah yang terbaik. Jangan biarkan kerja rumah membuat kamu tertekan dan sedih kerana hal ini tidak berbaloi.”—Julia.

 Tanyalah diri kamu:

  •   Apakah bahan yang diperlukan untuk menyiapkan kerja rumah saya?

  •   Bilakah masa yang sesuai untuk melakukan kerja rumah saya?

  •   Di manakah tempat yang sesuai yang dapat membantu saya untuk lebih berfokus?

  •   Bagaimanakah saya dapat mengelakkan sikap suka menunda-nunda?

  •   Apakah hal-hal yang dapat mengganggu tumpuan saya?

  •   Bagaimanakah saya dapat mengelakkan gangguan daripada alat elektronik atau hal-hal lain?

  •   Bagaimanakah saya dapat bersikap seimbang semasa melakukan kerja rumah?

 PERINGATAN PENTING: Pastikan kamu tahu apa yang diperlukan untuk menyiapkan kerja rumah kamu. Jika kamu ada soalan, tanyalah cikgu sebelum kamu tinggalkan kelas.

a Isi-isi adalah berdasarkan buku School Power, oleh Jeanne Schumm.